Minat sukan kayak, ibu 4 anak lakar nama dalam Malaysia Book of Records

Minat sukan kayak, ibu 4 anak lakar nama dalam Malaysia Book of Records

Ibu kepada empat orang anak dari Ipoh ini menjadikan sukan kayak sebagai minatnya dan dayungan kayak solo adalah misinya dalam memenuhi minat terhadap sukan lasak itu.

Nur Adila mula berkayak sejak 2017 mengambil masa kira-kira setahun untuk membuat persediaan. (Gambar Bernama)

Selama 7 hari, pendayung kayak solo wanita, Nur Adila Abu Hasan, 38, menongkah arus Sungai Perak sejauh 361.4 kilometer (km) sehingga melayakkan namanya dilakarkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Nur Adila memulakan Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Tasik Banding, Gerik pada 27 Dis lepas dengan menyusuri Sungai Perak dan tiba di Beting Beras Basah di sini kira-kira 9.30 pagi, 2 Jan 2021.

Ibu kepada empat orang anak dan bekerja sebagai pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian Perak, Ipoh berkata dayungan itu merupakan sebahagian daripada beberapa misi yang dilakukannya sebelum ini bagi memenuhi minat terhadap sukan lasak itu.

Berkongsi cabaran dihadapi, Nur Adila berkata beliau terpaksa berdepan arus deras yang menyebabkan jarak dayungannya melebihi sasaran.

“Pada mulanya sasaran dayungan sejauh 350 km jika mengikut aliran arus biasa, namun semasa di Empangan Kenering, Lenggong aliran air lebih deras, menyebabkan melebihi sasaran. Saya bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dengan jarak paling jauh adalah sepanjang 80 km dari Kenering ke Kuala Kangsar,” katanya.

Nur Adila yang mula berkayak sejak 2017 mengambil masa kira-kira setahun untuk membuat persediaan kerana latihan di lapangan terpaksa ditangguhkan sementara susulan wabak COVID-19 sebaliknya diganti dengan latihan di gimnasium dan aktiviti sukan lain.

“Ekspedisi kali ini memang mempunyai cabaran tersendiri antaranya saya tersangkut di dalam lumpur sehingga paras pinggang. Saya terpaksa menggoyangkan badan selama 20 minit bagi memudahkan pergerakan dan masuk ke dalam kayak semula untuk meneruskan misi.

“Pengalaman itu menjadi kenangan manis dan mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa,” katanya sambil menambah akan melakukan misi dayungan seterusnya bersama seorang rakan, Saidatul Atiqa Md Isa, 31, di Danau Toba, Indonesia tahun ini.

Nur Adila menerima sijil pengiktirafan daripada Penyelidik Analisis Malaysia Book of Records pada Majlis Penutup Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.