
Nga berkata penganjuran Hari Cuci Malaysia itu bertujuan memupuk budaya kebersihan yang seiring dengan aspirasi kerajaan.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) setelah mencipta tiga rekod baharu ketika penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024: Pembersihan Mega Seluruh Negara 2024 pada Sabtu lepas.
Beliau menerima sijil MBOR daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong sempena program Hari Cuci Malaysia yang berlangsung di Pasar Seni dan 649 lokasi di seluruh negara.
Tiga rekod baharu adalah penyertaan aktiviti gotong-royong paling ramai, kutipan sisa pepejal terberat dan program gotong-royong paling lama yang berlangsung selama 12 jam.
Dalam ucapannya Nga merakamkan penghargaan kepada semua jentera dan pihak yang terlibat dalam penganjuran Hari Cuci Malaysia yang bertujuan memupuk budaya kebersihan.
“Program ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat sebagai tonggak utama.
“Dengan tempoh masa dan penyelarasan yang singkat, kita bersama-sama dapat memusatkan jentera dan operasi pelaksanaan di semua peringkat bagi mencapai sasaran yang disasarkan,” katanya.