Kita adalah apa yang kita baca

Kita adalah apa yang kita baca

Dalam setiap buku yang dibaca, ada benih baharu ditanam – benih yang akan membentuk siapa kita, dan siapa kita akan jadi.

membaca buku reading books

Buku bukan sekadar hiburan – ia membentuk cara kita berfikir, merasa dan menjadi diri sendiri.

Pernahkah anda terfikir bahawa setiap buku yang anda baca sebenarnya sedang membentuk siapa anda hari ini? Membaca bukan sekadar mengisi masa lapang atau lari daripada kebosanan – ia satu proses perlahan yang menanam benih idea, nilai dan cara kita melihat dunia.

Penulis kelahiran Norfolk, Sangu Mandanna, yang terkenal dengan novel ‘The Very Secret Society of Irregular Witches’ pernah berkata, “Jika bukan kerana membaca, dan eskapisme serta kegembiraan yang dibawanya kepada saya sebagai kanak-kanak dan dewasa, saya tidak tahu di mana saya berada hari ini.” Kata-kata ini terasa benar kerana membaca ialah perjalanan yang mengubah kita sedikit demi sedikit, sehinggalah suatu hari kita menyedari betapa besar pengaruhnya dalam hidup.

Masa kecil, buku dan kenangan

Bagi ramai antara kita, cinta pada buku bermula dengan saat yang sangat sederhana. Saya masih ingat saat kecil di mana kedai buku pekan jadi tempat paling magis di dunia. Bau buku baharu, bunyi kertas diselak, rak kayu yang dipenuhi warna-warni kulit buku – semuanya membuat saya terpesona.

Satu hari, saya memaksa ayah membeli kamus Oxford kerana abang sulung saya sudah ada satu. Saya tidak mahu ketinggalan, mahu ada kamus sendiri di meja belajar. Ayah hanya tersenyum kecil, mungkin tahu permintaan itu bukan keperluan, tetapi dia tetap membelinya. Abang saya terkejut apabila di rumah ada kamus yang serupa. Akhirnya rumah kami ada dua kamus Oxford yang sama, tebal dan berat.

Lucunya, saya tidak pun faham semua perkataan di dalamnya waktu itu, tetapi rasa memiliki kamus yang sama membuat saya berasa matang, seolah-olah saya kini sebahagian daripada dunia orang dewasa.

Detik itu membentuk satu rasa yang kekal – bahawa buku ialah sesuatu yang penting, sesuatu yang bernilai. Sokongan ibu bapa, walaupun dalam bentuk sekecil membenarkan anak membeli buku, mampu menyalakan api minat yang membawa kesan sepanjang hayat. Ketika darjah dua, saya mengetuai sekolah melafazkan ikrar Rukun Negara, hadiah senaskhah buku nukilan A Samad Said berjudul Kledang dan sekotak pensel warna.

Peranan ibu bapa, guru dan rakan sebaya

Minat membaca jarang datang secara kebetulan; ia biasanya lahir daripada ekosistem yang menyuburkannya. Ibu bapa memainkan peranan penting dengan menyediakan suasana rumah yang mesra buku – walau sekadar rak buku kecil di sudut ruang tamu. Membacakan buku kepada anak sebelum tidur, membawa mereka ke kedai buku atau perpustakaan juga pameran buku, dan menghargai usaha mereka membaca – semua itu adalah baja kepada benih minat.

Guru pula sering menjadi pintu pertama yang membukakan dunia bacaan. Program NILAM, sudut bacaan di kelas, ulasan buku mingguan – semua ini bukan sekadar tugasan sekolah, tetapi peluang menanam tabiat membaca. Saya masih ingat guru Bahasa Melayu yang menghadiahkan buku cerita kepada murid menulis karangan paling kreatif, dorongan yang membuat ramai murid berlumba-lumba membaca untuk mencari idea baharu.

Rakan sebaya juga ada pengaruh besar. Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, membaca boleh jadi budaya jika dikongsi bersama. Ada yang bertukar-tukar buku, ada yang berbincang tentang watak kegemaran, ada yang membentuk kelab bacaan tidak rasmi.

Apabila membaca menjadi “aktiviti berkumpulan”, ia memberi rasa keterikatan dan menjadikannya lebih menyeronokkan. Ketika saya di darjah enam, kami membentuk sebuah kumpulan pembaca yang longgar, membincangkan tentang novel Enid Blyton yang kami baca.

Membaca dan empati

Buku membuka dunia lain kepada kita. Kita mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke Florence atau Fez, tetapi melalui novel, kita dapat melihat kota itu, mendengar bunyi pasar, bahkan merasai aroma kopi dan roti. Pembacaan membolehkan kita merasai hidup orang lain – watak fiksyen yang jatuh cinta, pejuang yang kehilangan sahabat atau kanak-kanak yang mencari makna dunia.

Secara perlahan, ia mengasah empati. Tidak hairanlah pembaca tegar sering lebih terbuka kepada pandangan berbeza kerana mereka telah “hidup” dalam beratus watak, memahami perspektif yang jauh dari pengalaman sendiri.

Buku yang betul?

Satu perkara menarik yang disebut oleh Mandanna ialah kesilapan orang dewasa terlalu menentukan buku “betul” untuk kanak-kanak. Seolah-olah hanya buku tebal, serius atau berlabel “sastera” yang dianggap bacaan sah. Hakikatnya, membaca komik, majalah, malah buku resipi juga adalah membaca.

Di Malaysia, stigma seperti ini masih ada – ada yang menganggap manga atau novel ringan “tidak mendidik”. Tetapi bukankah yang penting ialah tabiat membaca itu sendiri? Dari situ minat boleh berkembang. Mungkin hari ini anak membaca kisah penyiasatan remaja, esok dia beralih kepada karya falsafah atau sejarah. Membaca bukan pertandingan siapa paling serius, tetapi perjalanan mencari dunia baharu.

Ekosistem membaca hari ini

Hari ini, kita hidup dalam zaman yang aneh tetapi menarik. Di satu sisi, orang kata generasi muda tidak membaca lagi. Di sisi lain, muncul fenomena BookTok dan Bookstagram yang menghidupkan kembali minat membaca – rakaman video ringkas memperkenalkan buku hingga mampu melonjakkan jualan global.

Saya pernah berjumpa seorang remaja yang berkata, dia mula membaca semula kerana melihat ulasan buku di TikTok, lalu membeli e-buku kerana mudah dibaca di telefon. Pameran buku besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) terus menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap tahun, manakala jualan buku mega menawarkan peluang memiliki buku pada harga mampu milik.

Di banyak komuniti, “street library” atau rak buku percuma mula wujud, memberi peluang sesiapa sahaja untuk mengambil atau meletakkan buku. Semua ini membuktikan membaca masih relevan, cuma cara orang menemui buku telah berubah.

Membaca dan diri kita

Membaca membentuk siapa kita kerana ia perlahan-lahan mengumpul serpihan nilai dan idea, lalu menjadikan kita lebih berlapis dan matang. Kita belajar tentang kegagalan, kejayaan, pengorbanan dan cinta melalui kisah-kisah orang lain sebelum kita mengalaminya sendiri. Membaca memberi peluang kedua: untuk merenung kesilapan tanpa perlu mengalaminya, untuk meraikan kemenangan walaupun kita tidak berada di sana.

Ajakan untuk merayakan membaca

Kita sering bercakap tentang membudayakan membaca, tetapi mungkin kita perlu lebih berani merayakannya. Rayakan apa sahaja bacaan – sama ada buku motivasi, sajak lama, komik lawak atau novel cinta. Setiap bacaan membawa sesuatu kepada jiwa. Apa yang penting ialah kita tidak kehilangan rasa kagum, rasa ingin tahu, rasa untuk meneroka. Mandanna berkata, “Buku memberi kita peluang untuk berempati dengan semua jenis manusia.” Dan di situlah nilainya – buku menjadikan kita manusia yang lebih manusiawi.

Mungkin ini masa yang baik untuk kita semua menjadi pencetus budaya membaca, walau sekecil menghadiahkan buku kepada anak saudara, meletakkan buku di rak bacaan surau atau balai raya, atau berkongsi buku kegemaran dengan rakan.

Dalam setiap buku yang dibaca, ada benih baharu ditanam – benih yang akan membentuk siapa kita, dan siapa kita akan jadi.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.