Empat dara 2020 kini ‘trending’ nombor dua di YouTube Malaysia

Empat dara 2020 kini ‘trending’ nombor dua di YouTube Malaysia

Tahniah buat Faizal kerana jumlah tontonannya juga sudah mencecah 4.5 juta dengan 9,400 komen daripada pelayar yang sememangnya terhibur dengan karya komposer dan penyanyi ini.

Lagu Empat Dara 2020 gabungan trio Elly Mazlein, Faizal Tahir dan Zizi Kirana ternyata menjadi.

Lagu Empat Dara 2020 nyanyian Elly Mazlein, Faizal Tahir dan Zizi Kirana kini menjadi ‘trending’ nombor dua di platform YouTube Malaysia. Video yang dimuat naik di YouTube ini adalah hasil karya Faizal Tahir.

Tahniah buat Faizal kerana jumlah tontonannya juga sudah mencecah 4.5 juta dengan 9,400 komen daripada pelayar yang sememangnya terhibur dengan karya komposer dan penyanyi ini.

Malah, gandingan mantap Elly, Faizal dan Zizi ternyata menjadi.

Penghasilan lagu Empat Dara 2020 ini umpama Faizal dan Zizi sudah sedia menyahut cabaran yang pernah dibuat Elly sebelum ini.

Menurut Elly, dia sendiri tidak menyangka cabaran yang dibuatnya berjaya menarik perhatian warganet, termasuk rakan selebriti yang menunjuk minat mahu menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versi masing- masing.

“Ketika saya memuat naik potongan video pendek menyanyikan lagu Empat Dara, ia sekadar suka-suka dan hiburan kepada pengikut di Instagram. Tak sangka pula ia mendapat perhatian sampai begitu sekali.

“Saya sekadar buat cabaran untuk membuat orang gembira dan yakin sudah pasti setiap orang akan ada versi nyanyian mereka masing-masing yang lebih kreatif serta menghiburkan,” katanya.

Faizal pula menyifatkan kerjasama dan versi terbaharu lagu Empat Dara 2020 itu umpama menyahut cabaran daripada Elly.

“Dia (Elly) minta masuk, kita masuklah,” katanya yang bersyukur dengan sambutan yang diterima dari para peminat.

Bagi Zizi pula, dia tidak menduga turut mendapat tawaran daripada Faizal untuk mereka bertiga saling bekerjasama.

Katanya, “Faizal hanya beritahu kerjasama ini disifatkan sebagai projek gila-gila dan saya pun tak fikir dua kali untuk menerimanya kerana ada Elly juga.”

Elly sebelum ini menjadi perhatian penonton dengan lakonannya dalam drama Kampung People 2 yang ditayangkan di TV3.

Video pendek lagu Empat Dara yang dimuat naiknya di Instagram kini sudah mencatat hampir dua juta tontonan dengan lebih 200,000 komen malah, turut menarik ramai selebriti popular tanah air menyahut cabaran menyanyikan semula lagu itu dengan cara mereka sendiri.

Lagu Empat Dara ini adalah karya asal Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh. Manakala untuk versi baharu, ia mendapat sentuhan bersama Faizal, Mage, Mike Chan dan Mambang.

Lagu Empat Dara 2020 kini sudah berada di semua pelantar muzik digital dan ia terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.