Lagu terbaru Faizal Tahir, Ragaman buat netizen tonton berkali-kali

Lagu terbaru Faizal Tahir, Ragaman buat netizen tonton berkali-kali

Faizal berkata lagunya kali ini dibawa dalam genre berbeza dengan gaya penyampaian yang baharu.

Trending di laman sosial khususnya Youtube sekarang ialah, lagu terbaru karya penyanyi, komposer dan penerbit popular Faizal Tahir, Ragaman.

Apa yang pasti, klip video itu membawa perspektif baharu dan berbeza selain lagunya yang dengan mudah ‘mendaftar masuk’ dalam minda pendengar.

Ragaman menerima respon luar jangkaan apabila dalam masa seminggu dimuatnaik, ia sudahpun ditonton lebih 1.1 juta kali dan 73,000 ‘likes’.

Kini ia dilaporkan sebagai video muziknya trending #1 di laman Youtube Malaysia.

Faizal Tahir mencipta sendiri lagu dan video muzik arahan Azhar Ismail adalah mengenai kisah seorang suami yang sabar melayani kerenah isteri pelbagai ragam yang dilakoni oleh pelakon versatil, Nabila Huda.

Menurut satu kenyataan, Faizal akui Nabila sebagai pilihan terbaik untuk watak tersebut.

“Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila merupakan pilihan terbaik. Nabila belum pernah lagi terlibat dalam mana-mana video muzik jadi saya terharu kerana Nabila memilih Ragaman untuk menjadi video muzik pertama lakonannya”, katanya.

Faizal berkata lagunya kali ini dibawa dalam genre berbeza dengan gaya penyampaian yang baharu.

“Sebelum ini saya bawa tema yang serius, tetapi Ragaman membawa tema yang lebih santai dan ‘relatable’ dengan pendengar.

“Selain itu, proses untuk menyiapkan lagu ini hanya mengambil masa lebih kurang 3 ke 4 bulan sahaja, ini merupakan single yang paling cepat disiapkan selama penglibatan saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya kepada Astro Awani.

Dalam pada itu, anak-anak perempuan Faizal juga diberi peluang berlakon di bahagian permulaan dan akhir lagu Ragaman.

Jom kita dengar lagu tersebut dan kongsi pendapat anda mengenainya kepada kami!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.