
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd. Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju Kuala Lumpur.
Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.
Menerima mas kahwin berupa RM300 bersama senaskah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil bersyukur majlis pernikahan itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.
“Semuanya dilakukan saat-saat akhir. Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan. Doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah, ujarnya.
Pasangan kelihatan anggun mengenakan persalinan songket hitam klasik rekaan Shanell Harun dan Zizi disolek oleh Datuk Alha Alfa.
Keduanya merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan.
Terdahulu, Yusuf yang pernah kantoi memanggil Zizi dengan panggilan sayang sewaktu live di Instagram Zizi namun pantas menutupnya dengan mengatakan panggilan tersebut ditujukan untuk ibunya.
Namun, ianya tular di media sosial hingga hubungan keduanya menjadi tanda tanya warganet.
Menurut Zizi, dia bertemu Yusuf pertama kali semasa rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini dan mula serius kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan untuk ke alam perkahwinan.
Pasangan ini merancang untuk menunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka. Mereka turut tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup,” ujar Zizi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]