Kenali 4 peraturan komunikasi ini

Kenali 4 peraturan komunikasi ini

Kegagalan berbual tanpa mengikut peraturan inilah yang akhirnya membawa kepada pelbagai ketidakpuasan termasuk perbalahan komunikasi.

Setiap perkara di dunia ini pastilah mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Dalam bidang bahasa dan komunikasi, berbual juga mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. Peraturan-peraturan ini perlu dipatuhi supaya perbualan tersebut dapat berjalan dengan sempurna dan berkesan. Terdapat 4 peraturan yang kita perlu patuhi semasa berbual iaitu topik, giliran, bahasa dan ekspresi.

Topik

Topik adalah ciri yang sangat penting dalam sesebuah perbualan. Maka, pilihlah topik perbualan yang boleh dibicarakan oleh orang yang sedang berbual dengan kita. Kita perlulah bercakap perkara yang relevan dengan topik perbualan. Jika orang bercakap mengenai kereta, maka kita pun perlulah bercakap merujuk kepada kereta. Jangan orang bercakap mengenai kereta, kita pula bercakap berkenaan komputer pula. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan seharian, perbualan boleh melibatkan lebih daripada satu topik atau subtopic perbualan.

Giliran

Giliran bermaksud pertukaran kedudukan antara penutur dan pendengar. Maksudnya di sini, dalam setiap perbualan, kita mestilah memberi peluang kepada orang lain bercakap. Tidak boleh sama sekali hanya kita sahaja yang bercakap sedangkan orang lain hanya menjadi pendengar. Beri peluang untuk orang lain bercakap kerana mereka juga berhak menyampaikan pandangan ataupun buah fikiran.

Bahasa

Bahasa dalam perbualan bergantung kepada umur, jarak sosial dan formaliti. Ketiga-tiga perkara tersebut perlu dijaga supaya kita dapat menggunakan bahasa yang tepat dengan orang yang diajak berbual. Orang yang tidak menjaga bahasa semasa berbual boleh dianggap sebagai biadap. Misalnya, jika kita bercakap dengan orang yang lebih tua, kata ganti nama diri ‘engkau’ memang tidak sesuai digunakan. Gunakanlah kata ganti nama diri ‘encik’, ‘puan’, ‘pakcik’, ‘makcik’ dan sebagainya semasa bercakap dengan orang yang lebih berusia daripada kita.

Ekspresi

Ekspresi muka dan pandangan mata sangat penting dalam perbualan. Melalui ekspresi muka, kita dapat meneka adakah orang yang sedang bercakap dengan kita itu berminat atau tidak dengan topik yang sedang kita bincangkan. Begitu juga semasa kita melihat ekspresi muka seseorang yang sedang bersedih. Kita sebagai rakan atau ahli keluarga cubalah untuk bercakap perkara-perkara yang boleh menghilangkan kesedihan orang tersebut. Janganlah sesekali bercakap perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kesedihan mereka.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.