

Usaha mengumpul rambut untuk dijadikan rambut palsu bertujuan membantu pesakit kanser yang keguguran rambut akibat menjalani rawatan kemoterapi, khasnya kanak-kanak.
Rambut palsu berkualiti biasanya berharga lebih RM600 dan ia bukan pilihan buat pesakit kurang berkemampuan yang dibebani kos rawatan kanser.
Walaupun rambut akan tumbuh semula dalam tempoh 4 hingga 12 bulan, namun rambut palsu adalah pilihan terbaik untuk pesakit sementara menunggu rambut tumbuh kembali.
Mereka yang berminat menderma rambut boleh mengunjungi satu daripada lebih 150 salun rambut di seluruh negara yang menyertai kempen itu, di mana pelekat Locks of Hope ada ditampal di premis mereka.
Syarat utama ialah rambut yang hendak didermakan itu perlulah sekurang-kurangnya 6 inci atau 15cm panjang.
Rambut yang diwarnakan, kerinting mahupun “rebonding” selepas 6 bulan menjalani rawatan itu juga diterima.
Alternatif lain ialah pergi ke mana-mana salun rambut, ikat rambut gaya ekor kuda dengan seutas gelang getah sebelum memotongnya dan hantar ke Locks of Hope Association, 50-1, Jalan SL 1/3, Bandar Sungai long, 43000 Kajang, Selangor.
Rambut yang didermakan itu akan dihantar ke China untuk dijadikan rambut palsu, di mana setiap satu berharga RM820.
Persatuan Kunci Harapan juga mengalu-alukan sukarelawan atau mereka yang ingin menjadi ahli persatuan itu dengan menghubungi 016-2219005, e-mel [email protected] atau layari laman Facebook Locks of Hope Association untuk maklumat lanjut.