Israel larang mufti besar Baitulmaqdis masuk Masjid Al-Aqsa 6 bulan

Israel larang mufti besar Baitulmaqdis masuk Masjid Al-Aqsa 6 bulan

Sheikh Muhammad Hussein berdepan tindakan itu susulan khutbah Jumaat beliau mengutuk dasar Israel sengaja cetus kebuluran di Gaza.

Sheikh Muhammad Hussein EPA
Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Muhammad Hussein, sebelum ini dilarang masuk Masjid Al-Aqsa lapan hari. (Gambar EPA Images)
GAZA:
Pihak berkuasa Israel mengenakan larangan selama enam bulan terhadap Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Pentadbiran Baitulmaqdis yang memetik peguam Khaldoun Najm, keputusan itu dibuat selepas tamat tempoh larangan selama lapan hari sebelum ini.

Perintah terbaharu itu dilaporkan dikeluarkan susulan khutbah Jumaat beliau baru-baru ini yang mengutuk dasar penindasan Israel termasuk didakwa sengaja menyebabkan kebuluran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pasukan keselamatan Israel telah memanggil pemimpin agama itu pada 27 Julai dan menyerahkan perintah pengusiran lapan hari dari Masjid Al-Aqsa, dengan kemungkinan lanjutan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk menyingkirkan pihak berkuasa agama daripada Al-Aqsa serta membungkam suara yang menentang perancangan Israel.

Dalam kenyataan, kementerian berkata larangan itu mencerminkan sejauh mana pelanggaran yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.