Israel usir imam Masjid Al-Aqsa

Israel usir imam Masjid Al-Aqsa

Sheikh Ekrima Sabri berkemungkinan diusir dari Masjid Al-Aqsa selama enam bulan.

alaqsa
Pihak berkuasa Israel membebaskan Sheikh Ekrima Sabri dan mengarahkan pengusirannya dari masjid. (Gambar AP)
BAITULMAQDIS:
Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Ekrima Sabri dibebaskan pihak berkuasa Israel selepas ditahan selama beberapa jam dan diarahkan meninggalkan masjid itu.

Peguamnya, Khaled Zabarka memberitahu Anadolu bahawa pihak berkuasa Israel membebaskan Sheikh Ekrima dan mengarahkan pengusirannya dari masjid sehingga 8 Ogos.

Pengusirannya berkemungkinan dilanjutkan selama enam bulan.

Pada awal Jumaat, Sheikh Ekrima ditahan Israel kerana berkabung dan memuji Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh.

Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan pemimpin Hamas itu, pada Rabu, tetapi Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan keterlibatannya.

Saksi mendakwa, polis Israel menyerbu rumah Imam itu di Baitulmaqdis Timur dan menahannya, lapor Agensi Anadolu.

Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, beliau mengetuai solat jenazah ghaib untuk Haniyeh.

“Penduduk Baitulmaqdis dan sekitarnya dari mimbar Masjid Al-Aqsa yang diberkati berkabung atas syahidnya Ismail Haniyeh,” katanya dalam khutbah.

Imam berusia 85 tahun itu pernah ditahan beberapa kali oleh tentera Israel dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan.

Sheikh Ekrima adalah pengkritik tegar terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin yang berlanjutan selama beberapa dekad.

Beliau pernah memegang jawatan mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.