Singapura akan bangun Kolej Pengajian Islam

Singapura akan bangun Kolej Pengajian Islam

Institut itu akan dibangunkan bagi melahirkan pemimpin Islam bagi Singapura pada masa akan datang, kata PM Lawrence Wong.

singapore
Perdana Menteri Singapura memberi jaminan akan terus mendampingi komuniti Melayu Islam di negara itu ke arah mencapai visi Masyarakat Gemilang. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura akan membina Kolej Pengajian Islam untuk melahirkan pemimpin Islam di negara itu pada masa akan datang, kata Lawrence Wong.

“Saya akan umumkan butirannya kelak,” katanya dalam Bahasa Melayu pada Rapat Hari Kebangsaan 2024 (NDR 2024) sulungnya selaku perdana menteri hari ini.

Menurut The Straits Times (ST), idea penubuhan kolej itu dicetuskan buat kali pertama pada 2016 oleh menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam ketika itu, Dr Yaacob Ibrahim.

Sementara itu, Wong yang juga menteri kewangan turut mengiktiraf sumbangan dan kerjasama pemimpin serta keseluruhan masyarakat Melayu Islam di republik itu yang menyumbang kepada kejayaan Singapura dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuk meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan keganasan, serta usaha memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan.

“Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani,” katanya.

Selaku perdana menteri, Wong berkata, beliau komited meneruskan kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan masyarakat, selain menghargai semua maklum balas dan pandangan yang diberikan.

Beliau turut memberi jaminan akan terus mendampingi komuniti itu ke arah mencapai visi Masyarakat Gemilang.

“Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu-Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara kita,” katanya.

“Saya juga akan sokong anda dalam usaha membina sebuah masyarakat Melayu Islam yang moden lagi progresif tetapi masih mengekalkan adat resam dan cara hidup anda tersendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.