
NEW DELHI: Puluhan penerbangan Air India Express terganggu selepas ratusan kru kabin tiba-tiba melaporkan diri tidak sihat.
Tindakan itu menyebabkan kira-kira 80 penerbangan terjejas sejak Selasa lalu, menurut laporan media tempatan.
“Sebahagian kru kabin kami melaporkan diri tidak sihat pada saat akhir, bermula malam tadi, yang menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan.
“Ketika kami berinteraksi dengan kru untuk memahami sebab di sebalik kejadian ini, pasukan kami sedang berusaha menangani isu ini bagi mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi penumpang,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.
Syarikat penerbangan tambang murah itu sebahagian daripada kumpulan Air India yang dimiliki konglomerat Tata.