Rundingan gencatan senjata Gaza disambung di Kaherah, menurut laporan

Rundingan gencatan senjata Gaza disambung di Kaherah, menurut laporan

Sumber melapor rundingan itu disertai wakil Qatar, Israel, Hamas, dan CIA.

Serangan Israel akibat 85% penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain berdepan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan dengan 60% infrastruktur rosak atau musnah. (Gambar AP)
KAHERAH:
Rundingan mendapatkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bersambung di Kaherah.

Menurut Agensi Anadolu, stesen penyiaran swasta Mesir Al-Qahera News melaporkan perkara ini pada Sabtu memetik “sumber Mesir peringkat tinggi” yang tidak dinamakan sementara tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Mesir setakat ini.

Sumber itu berkata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) Bill Burns, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan seorang wakil dari Israel juga menyertai rundingan itu.

Seorang wakil kanan Hamas berpangkalan di Gaza juga dijangka tiba di Kaherah atas jemputan Mesir untuk membincangkan perkembangan berkaitan gencatan senjata di Gaza, menurut laporan itu lagi.

Pada Jumaat, seorang pegawai pentadbiran AS berkata Presiden Joe Biden baru-baru ini mengutus dua surat khas kepada Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dan Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad al-Thani mengenai usaha menyegerakan rundingan gencatan senjata itu, kata media AS, lapor Agensi Anadolu.

Israel telah melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu dengan lebih 33,100 rakyat Palestin maut dan lebih 75,800 cedera selain kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan.

Israel juga mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduknya terutama di bahagian utara mengalami kelaparan.

Serangan Israel telah mengakibatkan 85% penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang akut dengan 60% daripada infrastruktur di sana rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang pada minggu lalu mengarahkannya untuk meningkatkan usaha bagi mengelakkan kebuluran di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.