
Menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), rekod untuk pelbagai petunjuk perubahan iklim dipecahkan tahun lepas, seperti tahap gas rumah hijau, suhu permukaan, haba lautan dan pengasidan, peningkatan paras laut, litupan ais di Antartika serta pemecahan glasier.
“Laporan tahunan ini menunjukkan krisis iklim cabaran paling ketara yang sedang dihadapi manusia.
“Ia berkait rapat krisis ketidaksamaan seperti disaksikan oleh peningkatan keterjaminan makanan, pemindahan penduduk dan kehilangan biodiversiti,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo dalam sidang media di Geneva, lapor Xinhua.
Menurut laporan itu, gelombang haba, banjir, kemarau, kebakaran hutan dan siklon tropika yang meningkat dengan cepat menyebabkan kesengsaraan dan kekacauan tahun lepas, menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang serta menyebabkan kerugian ekonomi berbilion dolar.
WMO mengesahkan 2023 tahun paling panas pernah direkodkan dengan purata suhu global sebanyak 1.45 darjah Celsius, dengan margin ketidakpastian sebanyak 0.12 darjah Celsius, melebihi paras pra-industri.
“Kami tidak pernah sedekat ini – walaupun secara sementara pada masa ini – dengan had bawah 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim,” kata ketua WMO itu.
Lebih 90% laut mengalami gelombang haba satu ketika pada 2023, dan satu set glasier rujukan global mengalami kehilangan terbesar ais yang pernah direkodkan.
Selain itu, ais laut Antartika mencapai tahap terkecil pernah direkodkan, dengan 1 juta km persegi kurang pada penghujung musim sejuk berbanding tahun rekod sebelumnya.
Sementara itu, kepekatan yang diperhatikan bagi tiga gas rumah hijau utama – karbon dioksida, metana dan nitrus oksida – mencapai tahap rekod pada 2022 dan terus meningkat pada 2023.
Tahap karbon dioksida 50% lebih tinggi berbanding era pra-industri.