2024 catat rekod tahun terpanas di Cameron Highlands

2024 catat rekod tahun terpanas di Cameron Highlands

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Huang Tiong Sii berkata purata suhu harian di kawasan pelancongan popular itu mencecah 18.91°C pada 2024.

ladang-teh-cameron-highlands
Purata suhu harian di Cameron Highlands pada tahun lalu meningkat 18.05°C daripada purata suhu harian direkodkan dari 1991 hingga 2020.
KUALA LUMPUR:
Tahun 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di Cameron Highlands dengan purata suhu harian mencecah 18.91°C.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Huang Tiong Sii berkata berdasarkan rekod data meteorologi dari 1969 hingga 2024, suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Katanya, suhu purata 18.91°C yang direkod tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86°C berbanding purata suhu harian jangka panjang 18.05°C direkodkan dari 1991 hingga 2020.

“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9°C pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula 10°C pada Feb 1989,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Huang juga berkata sebanyak 689 kejadian tanah runtuh direkodkan di Cameron Highlands sejak 1961.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dengan menerusi projek itu, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenal pasti di kawasan Cameron Highlands.

“Sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal (tanah runtuh),” katanya.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai statistik perubahan iklim serta jumlah kes kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.