
Bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perubahan iklim yang mendedahkan kepada pelbagai risiko bencana semula jadi seperti banjir menyebabkan peranan agensi terbabit tidak lagi terhad kepada tugas kecil seperti memantau pengairan pertanian.
Memegang portfolio itu dari 2020 hingga 2022, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini mencadangkan kakitangan agensi itu ditambah, begitu juga peruntukan lebih besar bagi melaksanakan rancangan dan projek tebatan banjir, mitigasi perubahan iklim dan hakisan pantai.
“Sudah sampai masa bidang tugas JPS dinilai balik peranannya dan dirombak, harus ada penambahbaikan…pertama tambah peruntukan kerana skop mereka makin besar termasuk jaga sumber air.
“Kakitangan kena tambah dan pusat pemantauan pun harus diperbanyakkan,” kata timbalan presiden PAS itu dalam temu bual dengan FMT.

Manfaat sumber air bawah tanah
Berdepan risiko kemarau, Tuan Ibrahim turut mencadangkan kerajaan memanfaatkan sumber air bawah tanah selain membina lebih banyak kawasan takungan air di pinggir sungai .
Menurutnya, persediaan itu perlu memandangkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menjangkakan kemarau melampau bakal melanda Semenanjung selama 10 tahun mulai 2025 hingga 2035.
“Sekarang ini kita baru ambil 3% air bawah tanah walaupun rizab kita besar, bagaimanapun negara lain telah sampai 40-45%.
“Jika berlaku kemarau sungai akan kering dan merisikokan empangan, jadi kita ada alternatif dari bawah tanah selain takungan air daripada limpahan sungai pada musim banjir,” katanya menjelaskan pendekatan itu dilaksanakan di Jepun.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut meminta Putrajaya mempercepatkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) terutama di Kelantan yang penduduknya terjejas teruk apabila tiba musim tengkujuh.
Dakwanya kelewatan pelaksanaannya disebabkan pembatalan tender lama sehingga proses itu terpaksa dibuat semula dengan alasan untuk menjimatkan kos.
“Bila kerajaan batal ada dua perkara akan berlaku. Pertama kelewatan projek sehingga tiga tahun. Bila tangguh proses bermula dari bawah semula.
“Tak menjimatkan kerana kos semakin naik seperti barangan dan diesel,” katanya, yang menggesa kerajaan meneruskan rancangan pentadbiran terdahulu.