Polis dapat petunjuk pelajar jatuh asrama Sabak Bernam

Polis dapat petunjuk pelajar jatuh asrama Sabak Bernam

Polis berkata hala tuju siasatan kini lebih positif bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

shazeli kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum membuat rumusan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan kes pelajar Tingkatan Tiga jatuh dari asrama sekolah di Sabak Bernam di landasan lebih jelas kerana polis mula mendapat petunjuk boleh merungkai punca kejadian.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum membuat rumusan.

“Proses siasatan masih berterusan, namun ia menampakkan hala tuju lebih positif bagi mengenal pasti punca kejadian sebenarnya.

“Banyak pihak membantu pihak polis sehingga kini,” katanya menurut Berita Harian.

Difahamkan, lebih 12 saksi, termasuk pelajar dan kakitangan sekolah sudah dirakam keterangan sehingga kini.

Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.

Sebelum ini, Shazeli dilaporkan berkata, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama dan latar belakang sosial mangsa serta rakannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Kementerian Pendidikan turut memulakan siasatan dalaman berhubung prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama.

Semalam, Exco Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata mangsa dilaporkan semakin stabil dan memberikan tindak balas positif terhadap rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.