
Perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan. Ia telah menjadi realiti yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, ekonomi dan alam sekitar.
Selangor tidak terkecuali dan kian terdedah kepada risiko bencana iklim di negara ini.
Kesan perubahan iklim seperti peningkatan taburan hujan dan risiko banjir, kenaikan paras laut dan hakisan pantai, tekanan sumber air dan dampak ke atas pertanian serta akuakultur antara cabaran dihadapi Malaysia termasuklah Selangor.
Semua bencana ini semakin memberi kesan serius terhadap alam sekitar, infrastruktur, kesihatan awam dan kehidupan harian masyarakat.
Keadaan ini turut mencerminkan pola cuaca yang semakin tidak menentu dan sukar diramalkan, sekali gus membawa pelbagai implikasi fizikal dan sosioekonomi termasuk peningkatan risiko bencana kepada penduduk, perniagaan dan sektor perindustrian.
Selangor pernah berdepan krisis air akibat kemarau berpanjangan pada 1998 dan 2014. Kejadian itu memberi pengajaran penting tentang keperluan merancang sumber air secara lestari dalam konteks iklim yang semakin tidak menentu.
Selain risiko banjir dan kemarau, Selangor juga berhadapan dengan ancaman kenaikan aras laut. Kawasan pesisir di Klang, Kuala Langat dan Sabak Bernam menjadi antara lokasi kritikal yang semakin kerap berdepan banjir akibat kombinasi air pasang besar dan hujan lebat.
Menyedari cabaran ini, Kerajaan Selangor telah mengambil langkah proaktif dan terancang bagi memastikan negeri ini kekal berdaya tahan menghadapi kesan perubahan iklim.
Usaha ini bukan sekadar melibatkan projek tebatan banjir atau pembinaan infrastruktur semata-mata, tetapi merangkumi dasar menyeluruh berasaskan sains, data dan keadilan sosial.
Melalui Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor (DPINS), kerajaan negeri menggariskan pendekatan dalam berhadapan kesan perubahan iklim yang turut menjadi cabaran global di pelbagai sektor dan peringkat.
Dasar ini menyediakan panduan dalam usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar serta menyokong peralihan tenaga yang adil dan inklusif untuk semua sektor masyarakat.
Langkah penting turut diambil melalui penstrukturan semula Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIMSELANGOR) yang dipengerusikan Menteri Besar Amiruddin Shari. Majlis ini berperanan sebagai platform utama menetapkan hala tuju dasar dan tindakan perubahan iklim negeri.
Dalam masa sama, projek tebatan banjir di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri sedang giat dilaksanakan manakala projek Skim Jaminan Air Mentah setakat ini berjalan lancar bagi memastikan bekalan air tidak terputus, terutama ketika kemarau dan cuaca ekstrem.
Kerajaan negeri juga terus komited dalam memperkenalkan inisiatif bagi memperkasakan lagi tindakan mitigasi perubahan iklim yang turut diimbangi aspek sosio ekonomi rakyat dengan kelestarian alam, terutama bagi masyarakat yang terkesan oleh perubahan dasar berkaitan iklim seperti dasar-dasar pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan peralihan tenaga.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap akan menyokong dasar-dasar baharu yang berpotensi memberi kesan positif seperti pasaran karbon dan peralihan tenaga yang memberi kesan langsung kepada daya saing industri dan pembangunan negeri, selain daripada impak perubahan iklim.
Inisiatif seperti ini boleh menjana pendapatan baharu untuk kerajaan negeri gunakan bagi tindakan-tindakan adaptasi yang akan memberikan kesan baik kepada kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.
Salah satu komponen penting dalam strategi perubahan iklim Selangor ialah penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (Selangor Climate Adaptation Centre – SCAC) yang dilancarkan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 19 Mei lalu. Pusat ini berfungsi sebagai hab penyelidikan, pangkalan data risiko bencana, serta platform sokongan dasar berasaskan sains.
SCAC menjadi pemacu penyelidikan, analisis risiko dan pembangunan sistem amaran awal bencana di Selangor. Ia turut berperanan menyelaras data-data iklim, banjir, kualiti udara dan paras air bagi membantu agensi kerajaan membuat keputusan tepat dan pantas.
Lebih penting, SCAC juga membuka peluang kerjasama strategik bersama organisasi antarabangsa dan swasta. Selangor kini dengan kerjasama Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) akan menerima pendanaan antarabangsa melalui dana Global Environment Facility (GEF) kitaran 8 bagi program Sustainable Cities Integrated Program.
Kerjasama SCAC bersama United Nations Global Compact Network for Malaysia and Brunei (UNGCMYB) juga menawarkan program pembangunan kapasiti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Selangor. Inisiatif ini penting bagi memastikan sektor PKS turut berdaya saing dalam ekonomi hijau.
Semua ini dilakukan kerana kerajaan Selangor sedar perubahan iklim adalah isu memerlukan tindakan tuntas di semua peringkat. Ia tidak boleh diserahkan kepada kerajaan Pusat atau agensi antarabangsa semata-mata.
Rakyat juga perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Kesedaran tentang kelestarian alam sekitar mesti diterapkan sejak di bangku sekolah hingga ke institusi korporat dan masyarakat setempat.
Selangor bertekad menjadi negeri paling berdaya tahan di Malaysia, bukan sahaja melalui infrastruktur fizikal, tetapi dengan kekuatan dasar, penyertaan rakyat dan kerjasama pelbagai pihak.
Agenda perubahan iklim bukan sekadar agenda alam sekitar. Ia adalah isu ekonomi, sosial dan keselamatan awam. Justeru Selangor komited menerajui tindakan iklim berasaskan sains, data dan keadilan sosial demi masa depan negeri dan rakyatnya.
Jamaliah Jamaluddin ialah Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.