
Belon Kubicek BB 85 Z terhempas pada Ahad di Eloy, kira-kira 100km tenggara Phoenix, kata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.
Punca kejadian itu masih disiasat.
“Belon itu terhempas di kawasan gurun berikutan masalah yang tidak dapat dipastikan pada bahagian selubungnya,” kata NTSB, merujuk kepada bahagian luar belon itu.
Pemeriksaan awal mendapati tiada anomali mekanikal kerana kedua-dua belon dan bakul kelihatan utuh, kata NTSB, sambil menambah bahawa selubung belon itu akan diperiksa kemudian. Peranti elektronik yang mengandungi maklumat penerbangan dan kamera video telah dihantar ke ibu pejabat NTSB di Washington untuk analisis lanjut, kata NTSB.
“Penting untuk dijelaskan bahawa terjunan udara itu dirancang dan berjaya dilakukan sebelum kejadian terbabit,” kata Jabatan Polis Eloy dalam satu kenyataan.
Polis mengenal pasti empat yang maut sebagai Chayton Wiescholek, 28, dari Union City, Michigan; Kaitlynn Bartrom, 28, dari Andrews, Indiana; Atahan Kiliccote, 24, dari Cupertino, California; dan juruterbang, Cornelius Van Der Walt, 37, warga Afrika Selatan yang tinggal di Eloy.
Mangsa yang terselamat, Valerie Stutterheim, 23, dari Scottsdale, Arizona, berada dalam keadaan kritikal, kata polis.
Syarikat yang mengendalikan penerbangan itu, Droplyne Hot Air Balloon Rides, mempunyai rekod keselamatan yang sempurna, menurut laman webnya.
Wakil syarikat tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.
Droplyne berkata ia menjalankan penerbangan harian yang meningkat sehingga ketinggian 3,000m dari sama ada kawasan Eloy di Arizona atau Moab, Utah, bergantung pada masa dalam setahun.