3 stesen kereta api di selatan Thai diserang

3 stesen kereta api di selatan Thai diserang

Serangan serentak pada Jumaat malam itu berlaku di tiga wilayah di selatan Thailand.

Anggota skuad pemusnah bom membuat pemeriksaan di sekitar Stesen Kereta Api Wat Chang Hai di daerah Khok Pho Pattani selatan Thailand. (Gambar Bernama)
PATTANI:
Tiga insiden serangan yang menyasarkan stesen kereta api berlaku serentak pada Jumaat malam di tiga wilayah selatan Thailand.

Di Yala, dalam kejadian kira-kira 8 malam (waktu tempatan) pada Jumaat, landasan kereta api di pekan Yala rosak selepas dua lelaki melontarkan bom paip dan menyasarkan anggota polis yang sedang bertugas.

Pemangku Ketua Stesen Kereta Api Yala, Thada Boorueang berkata rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal melontarkan bom paip ke arah anggota yang sedang bertugas.

“Anggota polis berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

“Landasan kereta api mengalami sedikit kerosakan. Pasukan teknikal akan membuat pemeriksaan dan penilaian. Kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin,” katanya.

Di Pattani, insiden tembakan rambang dilaporkan berlaku di Stesen Kereta Api Wat Chang Hai dan Pattani di daerah Khok Pho.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Archan Chansiri berkata dalam insiden kira-kira 8.20 malam itu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang ke arah kedua-dua stesen kereta api.

Namun, tiada orang awam di tempat kejadian kecuali polis dan pegawai State Railway of Thailand (SRT).

“Polis menemukan 13 kelongsong peluru jenis raifal M16 di tempat kejadian,” katanya.

Di Narathiwat, insiden berbalas tembakan berlaku antara polis dengan sekumpulan lelaki bersenjata di Stesen Kereta Api Chok Irong.

Dalam insiden kira-kira 8.30 malam itu, Ketua Polis Narathiwat, Anurut Im-arb berkata sekurang-kurang 10 lelaki bersenjata telah mengepong Stesen Kereta Api Chok Irong dan melepaskan tembakan.

“Insiden berbalas tembakan berlaku kira-kira 10 minit. Tiada kecederaan dilaporkan. Serangan itu dipercayai untuk menimbulkan suasana panik dalam alangan penduduk tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.