Kejadian tembakan di MSU, sekurang-kurangnya 3 maut, 5 cedera

Kejadian tembakan di MSU, sekurang-kurangnya 3 maut, 5 cedera

Tembakan dilepaskan seorang suspek bertopeng di dua lokasi, iaitu di bangunan akademik Berkey Hall dan bangunan MSU Union.

Polis memburu suspek tunggal dalam kejadian tembakan di MSU di kampus utamanya, East Lansing. (Gambar AP).
LOS ANGELES:
Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lima cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Michigan State University malam tadi, ketika penguat kuasa undang-undang mencari seorang suspek di kampus utama di East Lansing, kata polis.

Tidak banyak butiran rasmi mengenai kejadian keganasan bersenjata itu didedahkan, tetapi Chris Rozman, timbalan ketua polis sementara di universiti itu berkata, tembakan dilepaskan di dua lokasi – di bangunan akademik Berkey Hall dan bangunan Michigan State University Union.

Anggota polis yang dikerah bertindak terhadap tembakan itu, yang bermula sejurus selepas 8 malam waktu tempatan, menjumpai mangsa di kedua-dua lokasi, kata Rozman kepada pemberita kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Beliau mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya lima mangsa telah dibawa ke hospital, dengan beberapa antara mereka mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Polis MSU kemudian memaklumkan menerusi Twitter bahawa sekurang-kurangnya tiga orang lagi telah terbunuh.

Pelajar dan kakitangan universiti, serta penduduk sekitar kawasan kejiranan luar kampus East Lansing, kira-kira 90 batu barat laut Detroit, digesa oleh pihak berkuasa untuk “berlindung di satu tempat”, sementara pemburuan suspek diteruskan.

Suspek, yang pada mulanya digambarkan sebagai lelaki pendek memakai topeng, kali terakhir dilihat berlari keluar dari bangunan MSU Union, kata Rozman.

MSU, salah sebuah institusi pengajian tinggi awam utama di Amerika Syarikat, menempatkan 50,000 pelajar siswazah dan sarjana muda di kampus utamanya, East Lansing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.