
Kebakaran di Hotel Grand Diamond City di Poipet berlaku lewat malam tadi, sekitar jam 11:30 malam (waktu tempatan).
Menurut laporan awal pihak polis, sekitar 10 orang maut dan 30 lagi cedera.
Ketika kejadian, dipercayai sekitar 400 individu bekerja di kasino berkenaan.
Media tempatan melaporkan, warga asing turut berada dalam kasino berkenaan ketika kebakaran.
Sumber Kementerian Luar Thailand memberitahu, mereka memantau rapat kejadian itu dengan pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa cuba untuk mengawal kebakaran termasuk mengerahkan trak bomba dari sebelah Thailand,” katanya.
Menceritakan keadaan ketika itu, seorang sukarelawan kumpulan penyelamat Thailand daripada Yayasan Ruamkatanyu berkata, api bermula dari tingkat satu dan kemudiannya merebak cepat sehingga menjilat keseluruhan bangunan.
Grand Diamond City adalah antara beberapa hotel kasino yang selalu menjadi tempat berkumpul, terletak di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.