Mesir naikkan kadar tol Terusan Suez tahun depan

Mesir naikkan kadar tol Terusan Suez tahun depan

Kenaikan harga tenaga, kadar pengangkutan dan kadar sewa harian untuk kapal menjadi sebab utama untuk kadar tol transit dinaikkan.

Pengerusi Penguasa Terusan Suez (SCA) Ossama Rabiee berkata terusan itu kekal sebagai laluan paling cekap dan paling murah berbanding laluan alternatif. (Gambar AP)
KAHERAH:
Kadar tol transit Terusan Suez akan meningkat sebanyak 15% bagi semua jenis kapal dan 10% bagi kapal pukal kering dan kapal persiaran mulai tahun depan, umum Penguasa Terusan Suez (SCA) dalam kenyataan pada Sabtu.

Pihak berkuasa berkata kenaikan harga tenaga, kadar pengangkutan dan kadar sewa harian untuk kapal, yang dijangkakan berterusan tahun depan, menjadi sebab utama untuk menaikkan tol transit di sepanjang terusan penting yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah itu, lapor Xinhua.

“Kenaikan (tol) tidak dapat dielak dan perlu dilaksanakan berikutan inflasi global semasa, yang memberi kesan kepada peningkatan kos operasi dan kos perkhidmatan pelayaran yang disediakan di terusan itu,” kata Pengerusi SCA Ossama Rabiee.

Beliau berkata SCA menyelaraskan kadar tol melalui mekanisme jelas merangkumi perubahan dalam pasaran pengangkutan maritim, sambil menyatakan terusan itu kekal sebagai laluan paling cekap dan paling murah berbanding laluan alternatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.