Polis Mesir tembak mati 8 penyeludup dadah

Polis Mesir tembak mati 8 penyeludup dadah

Polis turut merampas 125kg dadah dianggarkan bernilai kira-kira USD330,000 bersama lapan laras senjata api.

Police line epa images pic 020924
Pihak berkuasa Mesir berkata semua penyeludup itu memiliki rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram serta rompakan bersenjata. (Gambar EPA Images)
KAHERAH:
Polis Mesir menembak mati lapan penyeludup dadah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di pulau-pulau Sungai Nil, utara Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.

Menurut kementerian, kesemua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram, rompakan bersenjata serta kecurian kenderaan, lapor Xinhua.

Mereka dipercayai menjalankan kegiatan dari pulau-pulau Sungai Nil berhampiran wilayah Menoufia dan Qalyubia dengan menggunakan bot laju serta memanfaatkan bentuk muka bumi bagi mengelak daripada dikesan pihak keselamatan.

Pasukan keselamatan memantau dan menjejaki kegiatan kumpulan itu sebelum melancarkan serbuan.

“Penjenayah melepaskan tembakan secara agresif, namun polis berjaya menumpaskan mereka,” menurut kenyataan itu.

Polis turut merampas 125kg dadah dianggarkan bernilai 16 juta paun Mesir (sekitar USD330,000) bersama lapan laras senjata api, menurut kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.