Trak bantuan Mesir, UAE masuk Gaza

Trak bantuan Mesir, UAE masuk Gaza

Muatan trak meliputi makanan serta bahan baik pulih infrastruktur awam yang rosak teruk.

Beberapa trak bantuan masuk ke Semenanjung Gaza melalui persimpangan Rafah. (Gambar EPA Images)
ANKARA:
Beberapa trak bantuan dari Mesir dilaporkan memasuki Semenanjung Gaza melalui persimpangan Rafah membawa pelbagai bekalan penting termasuk makanan dan barangan untuk memulihkan infrastruktur, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan Mesir.

Rakaman video saluran Al Qahera News menunjukkan trak sarat muatan bergerak dari wilayah Mesir ke dalam Gaza.

Sementara itu, portal berita Al-Ahram Gate melaporkan konvoi berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan Mesir dalam menyokong rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik.

Menurut laporan, bantuan dihantar melalui trak milik Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu meliputi barangan makanan serta bahan untuk membaik pulih infrastruktur awam yang rosak teruk akibat serangan berterusan Israel.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Bulan Sabit Merah Mesir atau pihak berkuasa berkaitan mengenai jumlah trak terlibat atau jadual penghantaran seterusnya.

Penghantaran bantuan ini dibuat dalam suasana tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan, susulan amaran agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebuluran yang bakal berlaku serta kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam akibat operasi ketenteraan berterusan Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.