
Beliau berkata, jemputan itu disampaikan El-Sisi menerusi perbualan telefon hari ini.
“Menerusi perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, petang tadi, saya menerima perkembangan terkini mengenai pelan damai Gaza.
“Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.
“Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” katanya di Facebook.
Perdana menteri berkata, El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean minggu depan membawa hasil positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza.
“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” kata Anwar.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota Asean serta rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun dan India.