
Tentera Jordan menjalankan pusingan baharu operasi pengguguran bantuan dengan kerjasama Tentera Udara UAE dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan, lapor agensi berita rasmi Jordan, Petra.
Dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Jordan dan UAE digunakan dalam operasi itu untuk mengangkut 16 tan makanan dan susu formula bayi ke beberapa kawasan di Gaza.
Jumlah keseluruhan bantuan yang digugurkan sejak beberapa hari kebelakangan ini mencecah 73 tan, berdasarkan mekanisme penyampaian dirancang dalam memastikan penghantaran lebih berkesan.
Jurucakap Angkatan Tentera Mesir, Gharib Abdel Hafez memaklumkan di Facebook, empat pesawat tentera berlepas dari Mesir membawa bantuan makanan untuk digugurkan ke kawasan Gaza yang tidak dapat diakses melalui darat.
Sabtu lalu, tentera Israel mengumumkan mereka membenarkan pengguguran bantuan terhad dan memulakan “jeda taktikal tempatan dalam aktiviti ketenteraan” di kawasan tertentu bagi memudahkan akses bantuan kemanusiaan.
Ia susulan tekanan serantau dan komuniti antarabangsa berhubung krisis kebuluran di Gaza, dengan amaran kemungkinan berlakunya kematian besar-besaran membabitkan lebih 100,000 kanak-kanak.
Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin mengkritik kaedah itu tidak mencukupi untuk menghentikan kebuluran.
Pegawai Palestin berkata, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan setiap hari bagi memenuhi keperluan 2.4 juta penduduknya.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 154 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023, termasuk 89 kanak-kanak.