Liz Truss bakal jadi PM Britain

Liz Truss bakal jadi PM Britain

Selepas kempen selama beberapa minggu melawan bekas Rishi Sunak, Truss menjadi pilihan utama anggota Parti Konservatif dengan 81,326 berbanding 60,399 diperoleh lawannya.

Liz Truss akan menggantikan Boris Johnson sebagai perdana menteri Britain. (AP pic)
LONDON:
Liz Truss dinamakan sebagai perdana menteri baharu Britain hari ini selepas dipilih memimpin Parti Konservatif ketika negara itu berdepan krisis termasuk kos sara hidup, perindustrian dan kemelesetan ekonomi.

Selepas kempen selama beberapa minggu antara bekas menteri luar itu melawan bekas Menteri Kewangan Rishi Sunak, Truss nyata menjadi pilihan utama anggota Parti Konservatif dengan 81,326 berbanding 60,399 diperoleh lawannya.

“Kita perlu menunjukkan bahawa kita mampu mengotakan janji dalam tempoh dua tahun ini. Saya akan memperkenalkan langkah berani untuk mengurangkan cukai dan mengembangkan ekonomi,” kata Truss sebaik keputusan diumumkan.

“Saya akan mengotakan janji berhubung krisis tenaga, dengan membantu rakyat menangani bil tenaga mereka namun pada masa sama menangani isu jangka panjang berhubung bekalan.”

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Boris Johnson yang terpaksa meletak jawatan pada Julai selepas skandal selama beberapa bulan melihat sokongan terhadap pentadbirannya semakin meruncing.

Johnson dijadualkan menemui Ratu Elizabeth pada Selasa di Scotland, untuk menyerahkan peletakan jawatannya secara rasmi. Truss akan turut bersamanya seterusnya diminta membentuk kerajaan oleh ratu berkenaan.

Truss bakal menjadi perdana menteri keempat Konservatif sejak 2015. Sepanjang tempoh itu negara berkenaan berdepan pelbagai krisis malah kini dijangka menghadapi kemelesetan ekonomi jangka panjang yang dicetuskan inflasi setinggi 10.1% pada Julai.

Truss, 47, yang sebelum ini menjadi menteri luar di bawah pentadbiran Johnson telah berjanji untuk bertindak pantas bagi mengatasi krisis kos sara hidup dihadapi Britain, dengan berazam membentangkan perancangannya dalam masa seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.