
Negara dengan 22 juta penduduk itu bergelut menghadapi kekurangan bahan asas termasuk bahan bakar dan ubat selama berbulan-bulan, selepas rizab pertukaran asing habis akibat salah urus ekonomi dan kesan pandemik Covid-19.
“Akibat isu forex, import bahan bakar perlu dihadkan dalam tempoh 12 bulan akan datang,” kata Menteri Kuasa dan Tenaga Kanchana Wijesekera di Twitter bagi menjelaskan alasan di sebalik sistem pencatuan bahan bakar yang akan dilaksanakan minggu ini.
Sistem pencatuan itu antara langkah pertama Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe untuk meredakan kesan krisis selepas mengangkat sumpah minggu lalu.
Beliau menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang meninggalkan negara itu sebelum meletak jawatan awal bulan ini, susulan protes besar-besaran terhadap salah urus ekonomi yang turut melihat penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi serta pejabatnya.
Sri Lanka juga membuka semula sekolah hari ini selepas ditutup hampir sebulan akibat kekurangan bahan bakar dan kemelut politik.
Bagaimanapun, pekerja sektor awam diminta bekerja dari rumah untuk tempoh sebulan lagi, menurut pekeliling kerajaan dikeluarkan pada Ahad.
Sri Lanka dalam perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pakej bantuan kewangan sehingga USD3 bilion, selain mendapatkan bantuan negara lain termasuk India serta China.