13 maut tentera tembak pikap bawa pekerja di India

13 maut tentera tembak pikap bawa pekerja di India

Insiden itu mungkin berpunca daripada kesilapan mengenal pasti sasaran ketika tentera mengadakan operasi antipemberontak di kawasan Nagaland.

Ketua Menteri Nagaland Neiphiu Rio, pada Ahad, merayu semua pihak bertenang dan berjanji akan menyiasat kejadian itu dengan terperinci.
NEW DELHI:
Seramai 13 orang dilaporkan maut di Nagaland, India, selepas sebuah trak pikap ditembak anggota pasukan keselamatan, sekali gus mencetuskan ketegangan di negeri yang bersempadan dengan Myanmar itu.

Ketua Menteri Nagaland Neiphiu Rio, pada Ahad, menyeru semua pihak bertenang dan berjanji akan menyiasat kejadian yang berlaku di kampung Oting di daerah Mon.

Rio menyifatkan pembunuhan itu satu kejadian yang “malang” dan akan memastikan ia disiasat dengan adil mengikut lunas undang-undang.

Agensi berita PTI ketika memetik laporan seorang pegawai polis tempatan berkata, kejadian pada Sabtu itu berlaku apabila tentera melepaskan tembakan ke arah pikap yang dalam perjalanan membawa pekerja pulang dari lombong arang batu.

Maklumat terperinci mengenai kejadian masih disiasat.

Menurut laman web NDTV, insiden itu mungkin berpunca daripada kesilapan mengenal pasti sasaran ketika tentera sedang mengadakan operasi antipemberontak di kawasan itu.

NDTV melaporkan 14 orang maut dalam kejadian itu termasuk seorang tentera.

Menteri Dalam Negeri Amit Shah, berkata kerajaan negeri akan menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung kejadian itu.

“Saya turut berduka cita dengan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.