
Vincient Anak Belingau, 69, dilaporkan parah di bahu kanan sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Nanga Entaih kira-kira 11 pagi.
Ketua Polis Julau, Alif Haiqal Ramesh, berkata seorang lelaki 43 tahun dipercayai berlari dari sebuah bilik dengan senapang patah, sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa di kaki lima rumah panjang itu selepas pulang dari kebun sawit.
Menurutnya, seorang saksi di lokasi berhampiran memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebelum melihat mangsa rebah.
“Anak mangsa yang berada di bilik lain segera membawa bapanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat tembakan yang menyebabkan pendarahan teruk,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira 1.35 tengah hari di rumah panjang itu, dengan sepucuk senapang patah, sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru dirampas di lokasi kejadian.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati sekitar 5 pagi hari kejadian, suspek dikatakan berang selepas ditegur mangsa supaya tidak bermain senjata api di kawasan rumah panjang.
Katanya, suspek dipercayai tidak puas hati ditegur mangsa beberapa kali dan menggunakan senapang patah milik ibunya yang dipercayai diambil tanpa kebenaran dari tempat simpanan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.