
Memetik sumber yang tidak dinamakan, New York Times melaporkan semalam bahawa Coronel akan muncul di Mahkamah Daerah Persekutuan di Washington pagi esok untuk mengemukakan pengakuannya.
Perjanjian pengakuannya tidak menuntutnya bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat atau memberi maklumat mengenai sekutu suaminya, rakan perniagaan atau saudara-mara, lapor Times.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera. Jurucakap Jabatan Kehakiman AS enggan memberikan komen, dan pihak Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) tidak memberikan komen segera. Peguam Coronel pula tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Bekas ratu cantik berusia 31 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles Washington pada Februari.
Pihak pendakwaan menuduhnya bekerjasama dengan suaminya dalam menjalankan perniagaan kartel dadah dan bersekongkol dalam pelariannya dari penjara Altiplano di Mexico pada Julai 2015 melalui terowong sepanjang 1.5km yang digali dari selnya.
Selepas perbicaraan berprofil tinggi di mahkamah persekutuan di Brooklyn, Guzman, 63, didapati bersalah pada Februari 2019 kerana menjadi dalang perusahaan dadah bernilai berbilion dolar.
Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dengan tambahan 30 tahun, dan dipenjarakan di penjara persekutuan Supermax di Florence, Colorado.
Coronel, warganegara AS-Mexico, berkahwin dengan Guzman pada 2007 pada usia 18 tahun. Mereka mempunyai sepasang anak kembar perempuan.
Pada 2019, Coronel melancarkan jenama pakaian di AS, dan turut tampil dalam sebuah program realiti mengenai keluarga mafia.