
Beliau mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ‘tidak berhak’ menandatangani perjanjian itu, menegaskan bahawa ‘seorang individu tidak boleh mewakili persekutuan’.
Menurutnya, tindakan perdana menteri menjejaskan kedaulatan Malaysia dan boleh dianggap sebagai perbuatan khianat, dengan mendakwa perjanjian tersebut ‘secara efektif menyerahkan kuasa negara kepada AS’.
Mahathir berkata mana-mana perjanjian sebegitu mesti melalui beberapa saluran perlembagaan, termasuk Dewan Rakyat dan Majlis Raja-Raja.
“Tetapi dalam kes ini, beliau tidak berbuat demikian. Jadi beliau telah melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Putrajaya di sini.
Mahathir turut mendakwa perjanjian itu, yang menurutnya melebihi 400 halaman, mengandungi ‘banyak perkara yang merosakkan’ yang menunjukkan kuasa Malaysia telah diserahkan kepada AS.
Beliau membangkitkan lagi kebimbangan mengenai kepentingan Bumiputera, dengan mendakwa syarat dalam perjanjian itu menghalang Malaysia daripada mengenakan keistimewaan Bumiputera dalam perdagangan yang melibatkan barangan atau syarikat AS.
Mahathir membuat dakwaan sama Rabu lalu, tetapi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menegaskan bahawa hak Bumiputera kekal sebagai ‘garisan merah’ sepanjang rundingan.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan bahawa ART menjejaskan kedaulatan negara, dengan berkata kerajaan Malaysia dan AS komited untuk menegakkan kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang tahan lasak melalui perjanjian itu.
Pada Sabtu, menteri itu sekali lagi menolak dakwaan Mahathir bahawa hak Bumiputera akan dipinggirkan di bawah ART.
Tengku Zafrul berkata hak Bumiputera dilindungi di bawah hak Malaysia untuk melaksanakan ‘tanggungjawab perkhidmatan awam’ seperti dinyatakan dalam perjanjian itu, dan Putrajaya dibenarkan membantu syarikat berkaitan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Terdahulu, Mahathir menyatakan satu klausa dalam perjanjian itu yang beliau dakwa akan menghendaki Malaysia memastikan syarikat milik kerajaan bertindak mengikut pertimbangan komersial dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan AS.
“Itu bermakna hak Bumiputera tidak akan wujud lagi,” katanya.
Hari ini, beliau mendakwa sebanyak 139 laporan polis telah dibuat setakat ini terhadap ART, menyifatkannya sebagai isu berkepentingan nasional.