2 maut, 8 parah tembakan di universiti AS

2 maut, 8 parah tembakan di universiti AS

Tiada tangkapan setakat ini dan motif tembakan belum diketahui.

Brown University
Insiden tembakan berlaku di Bangunan Kejuruteraan Barus dan Holley di kampus itu yang menempatkan bilik kuliah serta makmal. (Gambar Getty Images/AFP)
WASHINGTON:
Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala lapan parah dalam tembakan di Universiti Brown di bandar Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat, pada Sabtu.

Pihak berkuasa memaklumkan suspek masih bebas dan arahan berlindung di rumah masih dikuatkuasakan, lapor Anadolu Ajansi.

Datuk Bandar Providence, Brett Smiley, mengesahkan dua maut dan lapan lagi dalam keadaan kritikal tetapi stabil di Hospital Rhode Island.

Pihak berkuasa berkata, panggilan kecemasan diterima selepas 4 petang waktu tempatan (2100 GMT), sekali gus mencetuskan tindak balas segera oleh polis Universiti Brown, diikuti polis Providence, anggota bomba dan pasukan perubatan kecemasan.

Insiden tembakan berlaku di Bangunan Kejuruteraan Barus dan Holley di kampus itu yang menempatkan bilik kuliah serta makmal.

Polis berkata, anggota keselamatan segera memasuki bangunan itu dan menjalankan pemeriksaan sistematik, namun gagal mengesan suspek.

Polis percaya suspek seorang lelaki berpakaian hitam yang keluar dari bangunan berkenaan.

Tiada tangkapan setakat ini dan motif tembakan belum diketahui.

Pihak bomba berkata, 10 mangsa dikenal pasti, dengan lapan dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal namun stabil dan dua lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat bersama polis terus memeriksa bangunan di kampus itu bagi memastikan tiada mangsa lain.

Pihak berkuasa memaklumkan beberapa agensi terbabit operasi itu termasuk polis negeri, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF).

Universiti Brown memaklumkan pihaknya sedang menubuhkan pusat penyatuan semula keluarga dan maklumat terkini akan disalurkan melalui saluran rasmi.

Pegawai universiti enggan mendedahkan butiran mangsa, sama ada mereka pelajar atau kakitangan, atas alasan siasatan masih di peringkat awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.