Disiasat berhubung salah laku seksual, jeneral ketuai kempen vaksinasi Kanada berundur

Disiasat berhubung salah laku seksual, jeneral ketuai kempen vaksinasi Kanada berundur

Mejar Jeneral Dany Fortin, yang juga bekas komandan misi NATO di Iraq, undur diri daripada tugas berkaitan kesihatan awam.

Dengan kerjasama agensi kesihatan awam, tentera bertanggungjawab mengedarkan vaksin kepada komuniti terpencil di Kanada.
MONTREAL:
Pegawai tertinggi tentera yang bertanggungjawab menyelaras kempen vaksinasi Covid-19 di negara ini telah berundur daripada jawatan tersebut susulan siasatan terhadapnya berhubung salah laku seksual.

Mejar Jeneral Dany Fortin, yang juga bekas komandan misi NATO di Iraq, telah mengundurkan diri daripada tugas berkaitan kesihatan awam tersebut sementara menunggu hasil siasatan pihak tentera, menurut Jabatan Pertahanan Negara Kanada semalam dalam kenyataan.

Fortin dilantik oleh Perdana Menteri Justin Trudeau November lalu untuk menyelaras logistik kempen vaksinasi terbesar dalam sejarah Kanada.

Dengan kerjasama agensi kesihatan awam, tentera Kanada bertanggungjawab mengedarkan vaksin kepada komuniti terpencil di negara ini.

Baru-baru ini, tentera digemparkan dengan siri siasatan terhadap pegawai berpangkat tinggi atas tuduhan salah laku seksual.

Antara yang disiasat adalah jeneral bersara, Jonathan Vance, bekas ketua kakitangan pertahanan, yang menafikan dakwaan terhadap beliau.

Penggantinya, Laksamana Art McDonald, meletak jawatan beberapa minggu selepas dilantik, susulan siasatan berhubung tuduhan serupa.

Bulan lalu, Menteri Pertahanan Harjit Sajjan mengarahkan Pendakwa Raya Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda dan bekas Yugoslavia, untuk menjalankan siasatan bebas terhadap pengendalian kes gangguan seksual dalam tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.