KPM beri sokongan emosi kepada pelajar disyaki mangsa salah laku seksual

KPM beri sokongan emosi kepada pelajar disyaki mangsa salah laku seksual

Perempuan itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan mendapat sokongan emosi daripada petugas perubatan.

Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kata sokongan emosi akan diberi kepada pelajar Tingkatan 3 disyaki menjadi mangsa salah laku seksual.
MELAKA:
Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan emosi kepada pelajar Tingkatan 3 yang disyaki menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah, minggu lepas.

Menteri Fadhlina Sidek berkata perempuan itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan mendapat sokongan emosi daripada petugas perubatan.

“Jadi, semuanya telahpun diambil tindakan oleh bahagian masing-masing, khususnya untuk perlindungan kanak-kanak ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan Jabatan Pendidikan Melaka dan polis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor dan Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata kementerian turut menguruskan perkara berkaitan disiplin dan sokongan emosi kepada guru serta pelajar di sekolah berkenaan.

“Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak… kita beri tumpuan penuh kepada guru yang mengajar dan anak-anak yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Hal itu yang kita utamakan ketika ini, persiapan mereka untuk menghadapi SPM supaya tidak terganggu dengan kes ini,” katanya, dan menambah kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai empat pelajar lelaki itu pula, Fadhlina berkata mereka akan dibenarkan mengambil peperiksaan SPM bermula pada 3 Nov ini.

Semalam, Dzulkhairi mengesahkan empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari bermula dari semalam hingga 16 Okt selepas disyaki melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar perempuan minggu lepas.

Kejadian terbabit dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Okt lepas di dalam sebuah kelas, dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua suspek.

Insiden itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah, sebelum membuat laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.