Gempa gegar Jawa Timur, 7 nyawa terkorban

Gempa gegar Jawa Timur, 7 nyawa terkorban

Gegaran turut dirasai di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok.

Lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk. (Gambar AP)
JAKARTA:
Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan semalam disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi tadi, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati, tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.

Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada kira-kira 2 petang semalam, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan, dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada 6.54 pagi tadi.

Kejadian gegaran semalam itu turut dirasai di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.