Ribuan di Perancis bantah RUU halang dedah identiti polis

Ribuan di Perancis bantah RUU halang dedah identiti polis

Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum penjara maksimum 1 tahun dan denda €45,000 (kira-kira RM218,354).

Wartawan dan jurugambar mengangkat kamera mereka sebagai protes dalam demonstrasi di Marseille pada Sabtu. (Gambar AP)
PARIS:
Ribuan orang mengadakan demonstrasi di sini pada Sabtu bagi menentang rang undang-undang (RUU) yang menjadikan pengedaran imej wajah pegawai polis dengan niat mereka perlu diserang sebagai satu kesalahan.

Penyokong berkata, pegawai polis dan keluarga mereka perlu dilindungi daripada diganggu, tidak kira dalam talian mahupun secara bersemuka ketika tidak bertugas.

Penentang pula berkata, undang-undang itu akan melanggar kebebasan wartawan untuk melaporkannya, dan menyukarkan polis bertanggungjawab atas salah laku mereka seperti penggunaan kekerasan – yang semakin membimbangkan masyarakat.

Jika sabit kesalahan itu, individu boleh dihukum penjara maksimum 1 tahun dan denda €45,000 (kira-kira RM218,354).

Di Dataran Trocadero di barat Paris, aktivis hak asasi, kesatuan sekerja dan wartawan melaungkan “Semua orang mahu membuat rakaman polis!” dan “Kebebasan!”, dengan polis yang dilengkapi peralatan rusuhan mengawal di sekitar dataran itu.

Ramai penunjuk perasaan memakai jaket gerakan “Yellow Vest” yang memulakan gelombang protes anti-kerajaan 2 tahun lalu.

Ada yang memegang sepanduk tertulis “Kami akan letak telefon pintar kami, bila anda letak senjata anda”.

Demonstrasi sama turut dirancang di bandar Marseille, Lille, Montpellier, Rennes, Saint-Etienne dan Nice.

Di Paris, polis bergelut dengan penunjuk perasaan di akhir protes itu. Seramai 23 orang dilaporkan ditangkap dan seorang pegawai polis cedera ringan.

Edwy Plenel, ketua pengarang berita penyiasatan portal berita Mediapart, berkata RUU itu memberi “lampu hijau untuk elemen terburuk dalam polis”.

“Mereka yang berkuasa berusaha menghalang rakyat, wartawan dan pemberi maklumat mendedahkan kegagalan negara. Apabila ini berlaku, demokrasi semakin hilang.”

Selasa lalu, 2 wartawan ditahan dalam satu protes yang mencetuskan pergelutan dengan polis ketika ahli Parlimen di Dewan Rakyat mula membahaskan RUU itu, yang disokong parti pimpinan Presiden, Emmanuel Macron dan sekutu Parlimennya.

RUU itu diluluskan ketika bacaan pertama pada Jumaat dan akan ada bacaan ke-2 pada Selasa. Kemudian, ia akan ke Senat untuk dibahaskan lebih lanjut sebelum diluluskan sebagai undang-undang.

Pindaan yang didraf kerajaan dan diluluskan Jumaat lalu mengubah Artikel 24 yang dipertikaikan, untuk menambah frasa “tanpa prejudis terhadap hak untuk memberi maklumat”.

Perdana Menteri, Jean Castex berkata, langkah itu akan “menghilangkan keraguan atas niat untuk menjamin penghormatan terhadap kebebasan awam sambil melindungi mereka, polis dan tentera, yang menjaga (keselamatan) penduduk”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.