Ombudsman Malaysia bakal ditubuh, perkukuh integriti sektor awam

Ombudsman Malaysia bakal ditubuh, perkukuh integriti sektor awam

Perkara itu dipersetuju dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

penjawat awam
Ombudsman Malaysia merangkumi fungsi salah tadbiran, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat untuk mengajukan aduan bagi penambahbaikan perkhidmatan dan mengekalkan tahap integriti tinggi sektor awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara mempersetujui penubuhan Ombudsman Malaysia, dengan mandat yang lebih luas untuk memperkukuh integriti dan ketelusan sektor awam, menurut laporan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipetik sebagai berkata cadangan itu merangkumi fungsi salah tadbiran, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat yang mengutamakan kepentingan dan hak rakyat untuk mengajukan aduan.

“Rang undang-undang (RUU) ombudsman ini akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan,” lapor Bernama.

Mesyuarat juga menyambut baik cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi mengawal selia perusahaan yang dimiliki atau dikawal oleh kerajaan (SOE), termasuk anak syarikat bawah badan berkanun.

Melalui perundangan ini, penubuhan dan laporan SOE hendaklah dibentangkan di Parlimen bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“RUU SOE ini akan dibentangkan di Parlimen pada akhir 2026,” menurut laporan.

Mesyuarat turut membincangkan empat substrategi dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang perlu diberi tumpuan supaya dapat dilaksanakan mulai 2026.

Substrategi itu ialah sistem perolehan bersepadu dikenali sebagai Sistem Perolehan Digital oleh Kementerian Kewangan, dan penggubalan RUU Kebebasan Maklumat untuk orang awam mengakses maklumat kerajaan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Dua lagi substrategi ialah pelaksanaan i-Kad secara digital melalui ‘National Integrated System’ dalam modul pas pelajar sebagai pengenalan diri bagi pelajar asing oleh Kementerian Dalam Negeri, dan menggalakkan insentif cukai dalam kalangan syarikat yang mendapat akreditasi Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001 oleh Jabatan Standard Malaysia.

Sementara itu, SPRM mengumumkan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans, iaitu mekanisme wajib menilai tahap integriti dan tatakelola agensi sektor awam, akan mula dilaksanakan sepenuhnya kepada semua agensi awam persekutuan serta negeri bermula Januari 2026.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dihadiri Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Turut serta Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Peguam Negara Dusuki Mokhtar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM Idris Zaharuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.