
Azalina berkata, ini susulan satu kajian menyeluruh yang membandingkan amalan terbaik antarabangsa, mengambil kira maklum balas lebih 7,000 responden melalui kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah.
“Fasa kedua ini akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan struktur institusi, penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menteri itu berkata, perbincangan telah diadakan dengan Ahli Parlimen Selayang William Leong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, serta Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol; Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh; dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Tokoh lain yang turut terlibat dalam perbincangan itu termasuk Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Zamri Misman, Peguam Cara Negara II Umar Saifuddin Jaafar, dan Presiden Badan Peguam Malaysia Ezri Abdul Wahab.
Pada Oktober, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran menafikan kerajaan melengah-lengahkan rancangan untuk mengasingkan peranan AG dengan pendakwa raya.
Beliau berkata kerajaan ‘komited 100%’ untuk melaksanakan reformasi tersebut dan telah pun berjanji untuk menunaikannya.
Namun, katanya, kelewatan pelaksanaannya berpunca daripada perbincangan dengan pihak berkepentingan yang menurutnya perlu dilaksanakan bagi memastikan rang undang-undang itu bersifat menyeluruh.
Beliau menambah, kerajaan akan memberikan tempoh masa bagi RUU tersebut tahun depan.
Bulan lepas, Azalina turut berkata kerajaan akan memulakan proses perundangan untuk mengasingkan peranan AG dengan pendakwa raya tahun depan.