Pos Rider, beri sinar baru kepada Chairil

Pos Rider, beri sinar baru kepada Chairil

Jika sebelum ini perniagaan yang diusahakan lebih satu dekad itu berjalan dengan baik sekali namun pada awal tahun ini permintaan agak perlahan dan semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Pekerjaan sebagai Pos Rider membantu Chairil Anwar Sabar menyara keluarga dan membayar balik semua hutangnya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Dahulu, hidupnya begitu sempurna. Di awal usia 50-an dia sudah miliki syarikat sendiri, beberapa buah kenderaan dan menetap di kediaman yang amat selesa serta dengan mudah berbelanja ribuan ringgit setiap bulan.

Namun, langit tidak selalunya cerah, kekayaan dan kesenangan yang dikecapi Chairil Anwar Sabar berakhir bila mana pandemik COVID-19 melanda.

“Segalanya musnah. Tidak ada satu pun dapat diselamatkan. Semuanya musnah sekelip mata sahaja dan yang tinggal hanya timbunan hutang syarikat bernilai berpuluh ribu ringgit,” jelas usahawan ini.

Chairil Anwar Sabar mengusahakan perniagaan acu tekan logam di Rawang, Selangor untuk penghasilan produk automotif, alatan sukan dan seumpamanya hampir 13 tahun.

Jelasnya, jika sebelum ini perniagaan yang diusahakan lebih satu dekad itu berjalan dengan baik sekali namun pada awal tahun ini permintaan agak perlahan dan semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Segalanya berubah selepas dia menyertai program ‘Pos Rider’. (Gambar Bernama)

“Pada awalnya, saya masih boleh bersabar lagi dan berharap perniagaan akan kembali stabil tetapi makin lama perusahaan ini makin merundum. Kilang terpaksa ditutup awal tahun ini kerana sudah tidak ada permintaan dan saya tidak mampu membayar gaji lima pekerja serta hutang dengan pembekal,” katanya.

Hari demi hari, simpanan semakin laju mengalir keluar dan Chairil masih gagal mendapat sebarang pekerjaan. Dengan anak-anak yang masih belajar, keperitan benar-benar dirasai.

Tiga bulan menganggur, segalanya berubah selepas dia menyertai program ‘Pos Rider’ pada akhir Mei lepas. Program ini adalah inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia yang dilaksanakan sejak tahun 2019.

“Barulah saya nampak sinar baru dalam hidup saya. Tidak ada lagi ‘sut’ atau pejabat besar tetapi setiap hari saya bertemankan rakan-rakan yang senasib dengan saya dan saya amat gembira dan bersyukur dengan pekerjaan ini. Bukan hanya dapat bertemu dengan pelbagai karakter setiap hari malah, pendapatan Pos Rider juga agak lumayan.

“Kalau kita rajin dan komited bekerja dari Isnin hingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, seminggu boleh dapat pendapatan sehingga RM2,500 dan jika dihitung selama empat minggu, boleh mencecah sehingga RM10,000,” kata ayah kepada tujuh orang cahayamata ini.

Menurutnya lagi, dia tidak malu menjadi Pos Rider malah jika sebelum ini dia hanya melakukannya separuh masa tetapi kini menjadikan ia sebagai pekerjaan tetapnya. Chairil menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.

Sumber dari Bernama

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.