
Mengimbau proses itu, Hajiji yang mengangkat sumpah pada September 2020 berkongsi rundingan bermakna tersebut bermula di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur ketika negara berdepan penularan Covid-19.
Katanya, kerajaan negeri menerusi jawatankuasa khas menyediakan kertas cadangan lengkap menerangkan kemahuan Sabah terhadap Peronas, satu tindakan tidak dibuat pentadbiran sebelum ini.
Beliau sendiri membentangkannya kepada Pengerusi Petronas Bakke Salleh serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Muhammad Taufik yang kemudian mengakui itu kali pertama mereka memahami dengan jelas tuntutan serta hala tuju Sabah.
“Itu cara saya. Saya persembahkan kepada Petronas apa yang Sabah mahu. Pengerusi Petronas sendiri kata, ‘CM sekarang saya baru tahu apa Sabah mahu’.
“Dulu, mereka tidak begitu jelas kerana tiada cadangan konkrit dibawa kepada mereka,” katanya dalam temu bual FMT.
Beberapa bulan kemudian, Sabah mencatat kejayaan penting apabila mencapai perjanjian yang buat kali pertama memberi negeri itu pegangan langsung dalam aset O&G: 50% ekuiti dalam lapangan Semarang, 25% dalam Samur Sipitang dan 25% dalam projek ZLNG yang sedang dirancang.
Pada masa sama, data Petronas menunjukkan kerjasama dengan syarikat Sabah melonjak mendadak selepas pelaksanaan Perjanjian Komersial (CCA) yang ditandatangani pada Disember 2021.
Kontrak O&G untuk syarikat Sabah meningkat 250% dalam tempoh empat tahun yang disifatkan perkembangan bererti oleh sumber industri kerana ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’.
Dalam kategori kontrak bernilai tinggi pula, syarikat Sabah mencatat lonjakan sekitar 800%, menunjukkan vendor tempatan kini memasuki peringkat baharu dalam industri O&G.
Selain itu, syarikat Sabah kini menguasai 36% daripada keseluruhan kontrak O&G di negeri itu, berbanding hanya sebahagian kecil sebelum CCA dilaksanakan.
“Dulu syarikat Sabah hanya dapat bahagian kecil. Hari ini mereka pegang 36% kontrak yang membuktikan pemerkasaan vendor tempatan benar-benar berlaku,” kata seorang sumber industri.
Hajiji berkata, manfaat itu yang dirasai pelbagai lapisan masyarakat di Sabah dicapai tanpa perlu memilih jalan pertelingkahan dengan kerajaan pusat atau Petronas.
“Tidak perlu teriak-teriak, gaduh-gaduh. Kita bincang elok-elok dan kita dapat hasilnya,” katanya yang membayangkan lebih banyak berita gembira akan diumumkan selepas rundingan selesai.
“Insya-Allah tahun depan akan ada lagi kejayaan yang boleh kita umumkan melalui perjanjian sedia ada,” katanya.
Hajiji menegaskan, rakyat Sabah harus melihat hasil, bukan retorik dengan hanya tahu melaungkan dakwaan atau cadangan tanpa langkah konkrit.
“Saya diam, ada hasil. Fikirlah orang Sabah siapa yang mereka mahu,” katanya.
Beliau berkata, Sabah kini di kedudukan lebih baik dalam memanfaatkan sumber O&G demi manfaat rakyat hasil hubungan lebih kukuh bersama Petronas selain peningkatan besar kontrak dan perluasan pemilikan ekuiti.