
Peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership itu, berkata LHDN boleh mengeluarkan ‘penilaian berdasarkan anggaran terbaik’, iaitu menerusi anggaran pendapatan berdasarkan penyata bank, pembelian bernilai tinggi, hartanah, kereta, malah menerusi gaya hidup ditampilkan, yang boleh mengakibatkan bil cukai lebih tinggi.
“Pendapatan daripada tajaan, kerjasama dengan jenama besar, jualan ‘affiliate’, mempromosikan produk, jualan barangan dalam talian atau penjanaan wang melalui YouTube mahupun TikTok dianggap sebagai pendapatan perniagaan atau bekerja sendiri dan boleh dikenakan cukai di bawah Seksyen 4 (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Dengan kata lain, apabila ia bersifat pendapatan tetap atau berniat komersial, LHDN menganggap ia sebagai perniagaan walaupun ia dilakukan dari rumah, tanpa syarikat atau sebagai aktiviti sampingan. Secara praktiknya, LHDN boleh menganggap kebanyakan deposit bank sebagai pendapatan melainkan mereka dapat membuktikan sebaliknya dan dianggap sangat kecil atau tiada perbelanjaan yang boleh ditolak kerana tidak menyimpan rekod yang betul.
“Apabila penilaian berdasarkan anggaran terbaik ditimbulkan, beban untuk membuktikan bahawa pendapatan itu adalah lebih rendah atau mempunyai perbelanjaan perniagaan yang sah akan beralih kepada mereka (pempengaruh),” katanya kepada Bernama.
Nur Amira berkata, tanpa invois, resit, kontrak atau rekod akaun yang betul, LHDN lazimnya akan menolak tuntutan perbelanjaan sekali gus menyebabkan pembayar cukai kemungkinan perlu membayar cukai bersama penalti dan caj lewat bayar atas jumlah yang lebih tinggi, yang sebenarnya boleh dikurangkan jika mereka membuat pengisytiharan yang tepat sedari awal.
Beliau juga mengingatkan kegagalan mengisytiharkan pendapatan boleh membawa akibat serius, termasuk risiko muflis dan sekatan perjalanan.
Nur Amira menasihatkan pempengaruh yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka daripada tahun-tahun sebelum ini agar membuat pengakuan sukarela kepada LHDN bagi mengelakkan penalti lebih berat.
“Isytiharkan pendapatan, serahkan borang cukai dan bayar cukai seperti yang sepatutnya. Pendekatan sukarela dilihat lebih baik berbanding menunggu untuk audit. Secara ringkas, jika wujud pendapatan ia mesti diisytiharkan. Rekod yang baik dapat melindungi anda begitu juga sebaliknya,” katanya.