
Kerjanya mungkin nampak mudah tetapi hanya yang betul-betul mahir sahaja dapat melakukannya. Dia umpama ‘doktor komputer’. Bila komputer berada di tangannya, yang rosak akan segera ‘sembuh’.
Benar, dia dan komputer tidak dapat dipisahkan. Komputer sudah sebati dengan dirinya, apatah lagi jika ada yang ‘sakit’, akan segera diubati. Tanyalah apa sahaja berkenaan komputer, semua jawapan di hujung jari azimatnya.
Wan Mutla’il Bin Adnan, 27 tahun, telah enam tahun bekerja dalam bidang IT Sales dan Technician. Anak muda berjiwa besar ini mempunyai matlamat memberi khidmat terbaik kepada semua pelanggan yang datang ke kedainya.
“Kadang-kala orang yang datang tak tahu apa masalah komputernya. Kita sendiri kena jujur, periksa dahulu apa masalah. Bila dah dapat tahu apa sakitnya, kita akan terangkan kepada pelanggan satu persatu termasuk kos untuk membaiki.
“Kita akan cuba beri kos dan khidmat terbaik kepada pelanggan. Kalau dia berpuas hati, In sha Allah dia akan datang lagi. Amanah dan integriti penting dalam semua pekerjaan. Sama juga dengan bidang ini,” kata Mutla’il.
Menurut Mutla’il lagi, pekerjaannya perlukan banyak kesabaran. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan pelanggan yang cerewet. Setiap tutur kata perlu berhati-hati. Begitu juga bila membaiki komputer, kerjanya berseni. Setiap komponen di dalamnya adalah sensitif.

“Selain kesabaran, kecekapan juga penting. Setiap kerja perlu cekap dan cepat kerana pelanggan perlukan komputer mereka dengan cepat untuk menyambung pekerjaan mereka. Jadi, kita kenalah mahir.
“Tetapi yang paling penting dalam kerjaya ini adalah minat yang mendalam dalam bidang IT. Kalau tak ada minat, semua kerja pun tak menjadi,” ujarnya lagi.
Bagi anak kelahiran Pelabuhan Klang ini, selain kemahiran membaiki komputer, komunikasi juga penting apabila berhadapan dengan pelanggan.
“Bila pelanggan selesa, kita pun senang buat kerja dan bila mereka suka dengan kerja kita, mereka akan datang semula untuk dapatkan servis kita lagi,” ujarnya.
Wan juga menasihatkan remaja yang ingin menjadikan bidang ini sebagai kerjaya supaya melengkapkan diri dengan ilmu komputer dari mana-mana institusi kemahiran dan tanamkan semangat untuk berjaya dalam bidang ini.
Bagi mereka yang mempunyai masalah dengan komputer, boleh berjumpa dengan Wan Mutla’il di alamat berikut untuk mendapatkan khidmat dan nasihat:
MTS Technology Sales & Service
Lot L3-10, Shaw Centrepoint
Jalan Raja Hassan
Klang, Selangor
Atau hubungi: 03-38850601
Waktu operasi: 10.30pagi hingga 8.00malam setiap hari
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]