Kerajaan digesa permudah perniagaan, bukan lancar ‘jihad’ terhadap orang tengah

Kerajaan digesa permudah perniagaan, bukan lancar ‘jihad’ terhadap orang tengah

Dr Lee Boon Chye daripada PKR berkata, kerajaan sepatutnya menumpukan usahanya untuk membetulkan ketidakcekapan dalam pasaran.

Lee Boon Chye berkata,perkhidmatan orang tengah dalam pengangkutan dan pengedaran memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen pembangkang mengkritik usaha “jihad” kerajaan membanteras orang tengah dengan berkata, mereka hanya mengaut keuntungan berlebihan disebabkan ketidakcekapan dalam pasaran.

Sambil menyifatkan langkah kerajaan sebagai “idea bodoh”, Dr Lee Boon Chye daripada PKR berkata, kerajaan sebaliknya perlu menumpukan usahanya untuk membetulkan ketidakcekapan dalam pasaran.

“Peranan kerajaan bukan untuk melancarkan ‘jihad’ terhadap orang tengah, tetapi untuk merangka dasar atau membantu meningkatkan kecekapan pasaran dengan menaik taraf jalan luar bandar, menyediakan akses internet dan membantu petani dalam automasi,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang pada Sabtu berkata, beliau mahu seluruh gerakan koperasi meneruskan “jihad” menentang orang tengah melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk mengukuhkan jaminan makanan negara.

Ismail mendakwa, harga dan bekalan barangan pada masa ini ditentukan oleh orang tengah, justeru perlunya “jihad”.

Lee berkata, perkhidmatan orang tengah dalam pengangkutan dan pengedaran memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi.

Contohnya, kata bekas timbalan menteri kesihatan itu, tanpa orang tengah, petani yang mengusahakan kebun pisang bukan sahaja perlu menanam tetapi juga menuai, membungkus, mengangkut, dan menjual hasil tanamannya di pasar.

Lee berkata, isu sebenar yang perlu diperangi ialah pencatutan oleh orang tengah, yang berlaku disebabkan masalah infrastruktur dan kawal selia atau ketiadaan ketelusan dalam pasaran.

Beliau berkata, pasaran yang cekap akan membolehkan semua pihak dalam rantaian bekalan memperoleh keuntungan lebih tinggi pada harga runcit yang lebih rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.