Perkhidmatan awam belum memuaskan, tegas PM

Perkhidmatan awam belum memuaskan, tegas PM

Anwar Ibrahim kata pemantauan dilakukan antaranya di hospital, sekolah, dan berkaitan permohonan pendaftaran serta lesen daripada PBT.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan dapat menjimatkan jutaan ringgit apabila tugas dijalankan secara cekap.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengenal pasti kelemahan dalam pentadbiran negara untuk memastikan penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau sentiasa memantau kelemahan pentadbiran dan mendapati perkhidmatan awam masih tidak memuaskan.

“Ketua setiausaha negara baru dilantik dapat memberikan tekanan yang sangat kuat… saya sendiri memantau,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-78.

Perdana menteri berkata pemantauan yang dilakukan antaranya di hospital, sekolah dan berkaitan permohonan pendaftaran serta lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

“Semua ini, bila kita dengar belum memuaskan walaupun ada perubahan, masih ada kebocoran… sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia saban hari tangkap kerana rasuah itu ada. Bila rasuah, itu kos perniagaan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Anwar menegaskan proses kelulusan bagi projek perumahan juga perlu disegerakan tanpa sebarang penangguhan hanya disebabkan bayaran tertentu.

Beliau percaya bahawa dengan menjalankan tugas secara cekap, kerajaan dapat menjimatkan jutaan ringgit.

Anwar berkata bahawa ini adalah cabaran dan tanggungjawab bersama rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memastikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan.

“…keadaan sekarang bukan hendak sebut saya ketuai kerajaan tetapi pergi mana-mana orang melihat kerajaan sekarang ada perubahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.