Perlu standard lebih tinggi dalam tadbir urus baik, kata eksekutif perniagaan

Perlu standard lebih tinggi dalam tadbir urus baik, kata eksekutif perniagaan

Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar berkata semangat tadbir urus baik menggabungkan integriti dan kecekapan, yang boleh memberi keajaiban kepada organisasi perniagaan serta negara.

Azeem Abu Bakar berkata, Malaysia terlepas peluang sebanyak USD600 bilion (RM2.6 trilion) setahun akibat kurang kecekapan dan integriti.
PETALING JAYA:
Tiba masanya Malaysia menetapkan standard lebih tinggi dalam tadbir urus baik untuk memulihkan ekonomi, kata Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar.

Bercakap dalam forum “Etika dan Integriti dalam Perniagaan dan Profesion” anjuran Kelab Rotary, Azeem berkata, semangat tadbir urus baik menggabungkan integriti dan kecekapan, yang akan menyerlahkan potensi penuh organisasi perniagaan serta negara.

“Tetapi, ketika negara memerlukan pemulihan serius, adakah kita mempunyai orang paling berbakat dan berintegriti untuk memimpin kita? Kita dapat lihat Malaysia tidak menunjukkan banyak kemajuan.

“Pada 2010, indeks Bursa Malaysia kira-kira 1,500 mata; 13 tahun kemudian, ia masih berlegar di sekitar paras sama berbanding bursa saham New York dan Nasdaq, yang berkembang berlipat ganda dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat penciptaan nilai sebenar di Malaysia sejak 10 tahun lalu.

Katanya, pendapatan per kapita negara ialah USD13,100 (RM58,100) pada 2022 berbanding negara lain seperti Korea Selatan yang mencecah USD42,500 (RM188,500) setahun.

“Korea Selatan mencapai kemerdekaan hanya sembilan tahun lebih awal daripada Malaysia, tetapi mempunyai lebih tiga kali ganda pendapatan per kapita.

“Kita patut berada di tahap lebih tinggi. Pada masa sama, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia kira-kira USD400 bilion (RM1.8 trilion) setahun, sedangkan ia patut mencapai sekurang-kurangnya USD1 trilion (RM4.4 trilion), jika ia berkembang pada kadar sama dengan Korea Selatan.”

Beliau berkata, Malaysia terlepas peluang sebanyak USD600 bilion (RM2.6 trilion) setahun akibat kurang kecekapan dan integriti.

Katanya, media dan masyarakat sivil perlu bergabung tenaga untuk membawa negara ke landasan betul.

“Media dan masyarakat sivil boleh memainkan peranan dalam memastikan perniagaan bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang mereka buat dan membantu mendidik orang ramai tentang apa yang berlaku dalam negara ini.”

Ubah amalan perniagaan untuk perangi rasuah

Dalam panel perbincangan berasingan, Bridget Welsh dari Universiti Nottingham mencadangkan organisasi perlu memulakan amalan baharu dengan memberi ganjaran kepada amalan dan etika baik dalam kalangan pekerja yang mendedahkan rasuah serta tingkah laku tidak beretika di tempat kerja.

“Jika mereka ini dihukum (kerana menjadi pemberi maklumat), mereka akan keluar dari organisasi dan ia akan melahirkan pengawal kepada rasuah.”

Jika amalan ini dituruti, katanya, perniagaan akan menjadi suri teladan kepada golongan muda dalam profesion masing-masing.

Beliau berkata, sejak PRU 2008, terdapat trend peningkatan mobilisasi lebih tinggi daripada masyarakat sivil terhadap usaha memerangi rasuah.

Ini katanya, meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap realiti rasuah di Malaysia.

Beliau percaya hasil trend ini boleh dibuktikan dengan keputusan dua PRU lalu kerana terdapat “undi protes” mengenai rasuah terhadap Barisan Nasional (BN).

Rasuah merupakan punca utama BN kecundang dalam dua PRU lalu, ketika bekas perdana menteri, Najib Razak, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pegawai kanan parti itu berdepan puluhan pertuduhan rasuah.

Ogos lalu, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dan pengubahan wang dalam kes yang dikaitkan dengan skandal kewangan berbilion dolar 1MDB. Beliau masih berdepan empat lagi perbicaraan kes lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.