
Jika pergi ke Kuala Kangsar, tidak sah rasanya jika tidak mengunjungi Masjid Ubudiah di Bukit Chandan. Juga dikenali sebagai Masjid Iskandariah atau Masjid Diraja ini adalah antara masjid tercantik di Malaysia.
Walaupun direka oleh seorang Inggeris iaitu Arthur Benison Hubback, arkited kerajaan pada waktu itu, namun nilai-nilai kesenian Islam dikekalkan seperti kubah emas dan menara masjid yang melambangkan seni bina Islam-India. Gaya rekaan ini adalah Mogul-Gothic, mengikut elemen masjid di Mogul.
Masjid yang dibina di antara tahun 1913 dan 1917 ini berbentuk oktagon atau segi 8 dan mempunyai 4 buah menara. Ia dikeliling kubah di bahagian dalam dengan setiap 1 garis pusatnya berukuran 18.2 meter panjang. Tiang ruang mimbar di dalam masjid dibina daripada batu marmar berwarna coklat. Bahagian dinding dan lantainya pula diperbuat daripada batu marmar berwarna merah dan putih dibawa khas dari Itali.
Mempunyai ruang solat yang luas dan jelas indah apabila disinari cahaya lampu chandelier. Ia juga dilengkapi kubah utama dan beberapa kubah kecil berwarna keemasan. Terdapat sebuah kolah mengambil wuduk di sebelah timur serambi masjid dan di bahagian hadapan masjid terdapat kolam lengkap air pancuran.
Bersebelah Masjid Ubudiah adalah Makam Diraja Perak yang bereka bentuk seakan sama dengan masjid ini.
Masjid Ubudiah juga adalah simbol kesenian Melayu Islam yang mempunyai nilai seni reka bermutu tinggi sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dari industri pelancongan negara.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]