Jangan sisih pesakit Alzheimer

Jangan sisih pesakit Alzheimer

Para penyelidik percaya ia bukanlah sebahagian daripada penuaan normal.

Alzheimer sejenis penyakit penuaan sel saraf otak yang berlaku secara berperingkat dan progresif. Ia mengakibatkan penurun daya ingatan, kemampuan untuk berfikir dan bercakap, juga perubahan terhadap perbuatan.

Demensia atau nyanyuk adalah kehilangan fungsi berfikir dan mengingati. Kedua penyakit ini tidak sama tetapi 60% pesakit Alzheimer akan mengalami demensia. Pesakit demensia ini akan mudah lupa terhadap sesuatu yang terjadi walaupun ia baru beberapa saat berlaku.

Alzheimer dikatakan terjadi karena pengendapan protein dalam otak, sehingga menghalang penghantaran nutrisi ke sel-sel otak. Walaupun risiko penyakit Alzheimer meningkat pada usia yang agak lewat namun tidak semua warga emas menghidap penyakit ini dan para penyelidik percaya ia bukanlah sebahagian daripada penuaan normal.

Tanda-tanda awal yang menyerang pesakit Alzheimer tidak sama tetapi gangguan ingatan ringan seperti lupa nama tempat, benda, kejadian, dan kandungan percakapan adalah gejala yang sering berlaku.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim, kebanyakan penjaga atau ahli keluarga tidak menyedari ibu ayah atau warga emas bawah jagaan mereka menghidap Alzheimer. Ini kerana kebanyakan pesakit tidak didiagnosis di samping ahli keluarga melihat perkara ini sebagai proses penuaan normal dan tidak memerlukan tindakan lanjut.

“Pesakit ini sebenarnya memerlukan penjagaan dan pengawasan untuk jangka masa yang panjang kerana keupayaan mental yang terjejas teruk menyebabkan pesakit sukar menjalani kehidupan seharian”, jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, penjaga pesakit Alzheimer perlu terlebih dahulu maklum akan tahap-tahap penyakit berkenaan. Ini kerana Alzheimer membuatkan pesakit seolah-olah “hanyut” dalam dunia imaginasi sendiri dan boleh mengakibatkan penjaga tidak mampu memahaminya.

Gejala Alzheimer

Awalnya pesakit Alzheimer akan mengalami gangguan daya ingatan yang ringan seperti lupa nama benda atau tempat, lupa kejadian atau perbualan yang baru sahaja terjadi. Pada tahap lanjut, pesakit Alzheimer sukar untuk bercakap atau menjelaskan suatu dan sukar membuat keputusan. Dia juga sering kelihatan bingung dan mengalami perubahan sikap. Terdapat 3 tahap Alzheimer:

Tahap ringan

  1. Bercakap berulang-ulang perkara yang sama.
  2. Mengalami masalah mencari perkataan, nama dan objek.
  3. Sering kehilangan barang.

Tahap sederhana

  1. Mudah hilang arah.
  2. Emosi sering terganggu.
  3. Perlukan bantuan untuk menyempurnakan tugasan harian seperti memakai baju dan membersihkan diri.

Tahap knonik

  1. Memerlukan bantuan keluarga sepenuhnya.
  2. Tidak memahami perkataan yang biasa digunakan.
  3. Tidak mengenali ahli keluarga atau orang di sekelilingnya.
  4. Tidak mampu menjaga diri sendiri.

Langkah Awal Pencegahan

  1. Kawal tabiat pemakanan
  2. Kurang dan elakkan makanan segera
  3. Jangan merokok
  4. Jangan mengambil minuman beralkohol
  5. Jaga berat badan
  6. Selalu bersenam
  7. Amalkan gaya hidup sihat

Setakat ini, tiada ubat atau penawar untuk penyakit Alzheimer, pesakit perlu penjagaan rapi dari penjaga. Penjaga perlu merancang rutin harian dan stimulasi mental serta mengalihkan perhatian pesakit. Penjaga juga perlu berkomunikasi menggunakan ayat arahan ringkas dan bahasa badan. Elakkan dari menggunakan perkataan yang boleh melukakan hati pesakit.

Masyarakat juga perlu peka dan mendapatkan maklumat mengenai Alzheimer menerusi pelbagai program kesedaran yang dilaksanakan agar pemahaman dan kesedaran mengenai penyakit ini dapat dipertingkatkan. Pengetahuan ini amat berguna memandangkan peratusan warga emas yang mengidap penyakit ini semakin meningkat.

Sumber: Bernama dan Kementerian Kesihatan Malaysia

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.