
Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah menjadi perdana menteri kelima pada 2003 selepas tamat penggal Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
Menurut hantaran media sosial menantunya, Khairy Jamaluddin, beliau meninggal dunia pada 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Sementara itu, IJN memaklumkan Abdullah dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas sukar bernafas dan segera menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Koronari.
Dikenali sebagai seorang mudah mesra, lembut tutur katanya, dengan reputasi sebagai ‘Mr Clean’, Abdullah memimpin Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada PRU 2004.
Bagaimanapun pada PRU 2008, gabungan itu gagal mempertahankan majoriti dua pertiganya di Parlimen, selain hilang pentadbiran di empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Negeri terbabit dikuasai pembangkang diterajui Pakatan Rakyat ketika itu, yang turut mengekalkan pentadbiran di Kelantan.
Dalam usaha melaksanakan reformasi politik dan ekonomi, kerajaan Abdullah, dan Khairy, sentiasa diserang oleh Mahathir dan pembangkang, menghakis sokongan terhadap BN.
Abdullah menanggung beban kekalahan PRU12 lalu mengundurkan diri akibat tekanan tidak sampai setahun kemudian.
Beliau meninggalkan isterinya, Jeanne Abdullah, dan dua anak, Nori dan Kamaluddin, daripada isteri pertamanya Endon Mahmood, yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada 2005.
Beliau juga mempunyai dua anak tiri, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie, daripada perkahwinan terdahulu Jeanne.
Abdullah, anak jati Pulau Pinang, menjadi penjawat awam lebih sedekad sebelum menceburi dunia politik. Beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan terus mewakili kawasan itu selama lebih tiga dekad.
Beliau dilantik sebagai timbalan menteri wilayah persekutuan pada 1980 ketika Hussein Onn menjadi perdana menteri. Selepas Hussein berundur, Abdullah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Jemaah Menteri pertama Mahathir.
Setelah memegang banyak portfolio lain seperti pendidikan, pertahanan, hal ehwal dalam dan luar negara, serta kewangan, Abdullah kemudian menjadi timbalan perdana menteri ketiga Mahathir pada 1999, tidak lama selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan dan gerakan Reformasi tercetus.
Apabila Mahathir meninggalkan jawatannya, Abdullah mengambil alih sebagai perdana menteri pada 31 Okt 2003.
Pada PRU enam bulan kemudian, beliau memimpin BN meraih kemenangan besar, memperoleh 198 daripada 219 kerusi Parlimen
Bagaimanapun, serangan berterusan terhadap kerajaannya, daripada Mahathir dan pembangkang, memuncak dengan kehilangan 58 kerusi dan majoriti dua pertiga yang lama dipertahankan oleh BN di Dewan Rakyat pada PRU 2008.
Berdepan perpecahan dalaman parti, Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri setahun kemudian, dengan timbalannya, Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan.
Abdullah kekal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas sehingga penggal terakhirnya.
Selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri, Abdullah menjauhkan diri daripada perhatian umum dan menumpukan masanya pada keluarga dan penulisan.
Kesihatannya mula merosot, dan pada September 2022, Khairy mendedahkan bahawa Abdullah mengalami demensia dan tidak dapat mengingati nama isteri dan ahli keluarganya yang lain.